Ketua Pegawai Eksekutifnya, V. Sasedharan berkata, peruntukan itu juga akan digunakan bagi memperkukuh kapasiti dermaga dengan membeli dua unit kren baharu.

Seiring dengan pelan peluasan itu katanya, Penang Port optimis untuk mencapai sasaran pengendalian kira-kira 2.8 sehingga 2.9 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada masa akan datang berbanding dua juta TEU ketika ini.

Jelas beliau, pada tahun lepas kendalian kontena oleh Penang Port meningkat sebanyak 1.52 juta TEU atau tumbuh sebanyak enam peratus berbanding 2016.

“Kami percaya sekiranya trend pertumbuhan ini berterusan, Penang Port mampu merekodkan pengendalian sebanyak 2.2 atau 2.3 juta TEU dalam masa lima tahun akan datang.

“Segmen kontena kekal sebagai penyumbang utama kepada perolehan kumpulan sebanyak 68 peratus,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Semalam, Penang Port membawa kira-kira 15 pengamal media tempatan membuat lawatan ke pelabuhan itu untuk memberi peluang melihat lebih dekat operasi syarikat berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Sasedharan optimis segmen kapal persiaran mempunyai potensi besar justeru pihaknya bakal memperluaskan saiz terminal bagi menampung jumlah penumpang yang lebih ramai.

“Ia juga bertujuan memenu­hi permintaan pasaran dan dalam masa sama melibatkan pelaburan kira-kira RM155 juta,” tambahnya.

Anak syarikat milik penuh MMC Corp Bhd., MMC Port Holdings Sdn. Bhd. ketika ini memiliki pegangan sebanyak 49 peratus dalam Penang Port dan bercadang membeli baki 51 peratus kepentingan ekuiti.

Pembelian itu memberi prospek baik kepada MMC Corp dalam usahanya untuk mengekalkan kedudukannya sebagai penggiat utama dalam industri pelabuhan di Malaysia.

Ia juga akan menyediakan peluang yang baik kepada kumpulan untuk meningkatkan lagi kedudukannya dalam Penang Port, pengendali pelabuhan yang utama di bahagian utara Semenanjung.