Menurut ETCM, semua kos buruh dan penggantian alat ganti untuk perkhidmatan tersebut adalah percuma.

“ETCM ingin menyatakan sekali lagi bahawa keyakinan dan ketenangan minda pelanggan menjadi aspek keutamaan jenama ini.

“Kami komited menjadikan aspek keselamatan, servis dan ke­puasan pelanggan berada pada tahap paling tinggi dengan berusaha untuk menangani masalah ini dengan pantas,” jelasnya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian bebas tol 1800-88-3838 atau layari laman web www.nissan.com.my untuk mengetahui sama ada kenderaan mereka terlibat atau sebaliknya.

Januari lalu, ETCM mengesahkan sebanyak 98,216 buah kenderaan Nissan terlibat dalam masalah inflator beg udara itu termasuk Grand Livina (83,263 buah), X-Gear (83,263 buah) dan Navara (14,953 buah).

Sementara itu, ETCM berkata, Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn. Bhd. (TCEAS) dinobatkan juara dalam Pertandingan Anugerah Penasihat Servis Cemerlang Nissan Rantau Asia (NISAC) yang diadakan di Thailand.

“Ernest Chong Ruichen dari Pusat 3S Nissan Kuching yang memenangi Pertandingan NISAC Kebangsaan pada April lalu telah dipilih untuk mewakili Malaysia ke pertandi­ngan peringkat serantau.

“Chong Ruichen mengungguli pertandingan penasihat servis, sekali gus mengalahkan ramai peserta lain yang lebih berpengalaman dari Hong Kong, Singapura, Korea, Filipina, Brunei dan Sri Lanka,” jelasnya.

NISAC merupakan per­tandingan peringkat serantau yang dianjurkan oleh Nissan Motor Co Ltd. (NML) bermatlamat mengiktiraf kemahiran penasihat servis daripada Divisyen Selepas Jualan dan Servis.