Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal menjelaskan, ia sebaliknya untuk mendapatkan nilai yang lebih baik bagi projek tersebut dan pemilihan yang dibuat adalah berasaskan kepada merit.

Katanya, keputusan untuk melanjutkan tempoh tender itu juga tiada kena-mengena dengan mana-mana negara sebaliknya MyHSR telah membuat pertimbangan sewajarnya yang mana jika tender ditutup dalam tempoh ditetapkan ia kemungkinan memberi risiko premium yang tinggi dan menyukarkan sebarang keputusan untuk membuat penilaian terbaik.

“Sebenarnya, kami menerima banyak permintaan daripada pem­bida supaya tarikh asal (sepatutnya Jun 2018) dilanjutkan supaya mereka mendapat lebih masa.

“Ini kerana ia adalah pakej kerjasama awam swasta (PPP) jangka masa panjang dan mereka perlu mereka bentuk, membina, menyelenggara dan membiayainya bagi tempoh yang lama. Jadi sebarang langkah tergesa-gesa daripada aspek teknikal dan ko­mersial akan menimbulkan risiko premium kepada pembida yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar MyHSR dan Rakan Kerjasama Penyampaian Projek (PDP) di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YTL-THP, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz dan Pengarah MRCB-Gamuda, Datuk Azmi Mat Nor.

MyHSR melanjutkan bidaan tender AssetsCo sehingga 28 Di­sember 2018 berbanding tarikh asal pada Jun tahun ini dan ke­dua-dua pihak termasuk SG HSR Pte. Ltd. (SG HSR) komited untuk memastikan projek itu beroperasi pada 31 Disember 2026 manakala proses penilaian dijangka lengkap pada suku ketiga 2019.

Bagi PDP, dua konsortium telah dilantik iaitu konsortium Malaysian Resources Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MRCB-Gamuda) dan Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn. Bhd.- TH Properties Sdn. Bhd. (YTL-THP).

Menurut Mohd. Nur Ismal, kerja-kerja lanjutan bagi projek tersebut akan bermula hujung tahun ini dan menjangkakan proses pengambilalihan tanah dapat bermula pada separuh kedua 2018.

Beliau berkata, sebanyak 40 peratus daripada lebih 60 pakej kerja infrastruktur bagi projek HSR akan diagihkan kepada syarikat bumiputera.

Katanya, ia juga akan memberi manfaat kepada lebih daripada 5,000 pakej subkontrak untuk direbut syarikat-syarikat tempatan di negara ini.

“Secara keseluruhan, projek ini akan mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan terdiri daripada 22,000 untuk profesional dan berkemahiran dengan 4,000 pakar HSR manakala 48,000 lagi pula menerusi pelbagai peluang pekerjaan,” katanya.