Menerusi perjanjian pertukaran saham satu untuk satu, AirAsia Group akan muncul sebagai sebuah entiti pegangan pelaburan manakala AirAsia akan memberi tumpuan kepada operasi syarikat penerbangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd., Tan Sri Tony Fernandes kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa syarikat itu di sini hari ini.

Pembentukan AirAsia Group Bhd. dijangkakan selesai pada Mac 2018.

Langkah itu akan menjadikan AirAsia sebagai sebuah unit ekonomi dan menyelaraskan struktur operasinya.

“Ini akan memberi kefahaman yang lebih baik terhadap syarikat itu. Kami berharap menyepadukan kesemua (sekutu) ASEAN kami tidak lama lagi. Thailand selepas ini.

“Ini adalah langkah pertama dalam usaha mewujudkan AirAsia sebagai satu unit ekonomi. Oleh itu impian kami ialah supaya AirAsia boleh memiliki 100 peratus sekutu ASEAN dan kesemua pemegang saham di­sejajarkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif AirAsia International Ltd, Rozman Omar berkata, penyusunan itu akan dilaksanakan sejurus selepas penubuhan Kumpulan AirAsia. – bernama

“AirAsia Group Bhd. akan menjadi pemegang saham 100 peratus AirAsia Bhd. Proses ini juga akan menyaksikan pemindahan penyenaraian daripada AirAsia kepada AirAsia Group . AirAsia akan menjadi syarikat yang tidak tersenarai yang mungkin kami tukar kepada entiti Sdn. Bhd,” katanya.

Mengenai pembinaan terminal kos rendah (LCCT) di negara lain, Fernandes berkata, banyak negara mula melihat nilai terminal kos rendah.

“2018 merupakan tahun yang penting bagi kami. Sejak sekian lama kerajaan memikirkan satu model, Malaysia menerajuinya dengan mewujudkan LCCT, sekali gus negara meraih manfaat terbesar. Sekarang ramai mengetahui satu lapangan terbang tidak berkhidmat untuk semua.

“Ini akan menjadi tugasan Aireen Omar (Timbalan Ketua Eksekutif Kumpuan AirAsia dalam perkhidmatan digital, transformasi, perkhidmatan korporat), dan berkemungkinan membuat kemajuan yang baik,” katanya. – BERNAMA