Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, projek tersebut yang mempunyai ketinggian 630 meter dengan 118 tingkat dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun lagi.

“Apabila rekaan sesebuah ba­ngu­nan itu telah dibuat dan projek­nya sedang dilaksana, tiada sebarang perubahan boleh dilakukan. Jadi tiada isu sama ada kita mahu hentikan atau mengurangkan jumlah tingkat bangunan tersebut,” katanya dalam majlis pengumuman pengagihan pendapatan AS1M di sini hari ini.

Yang hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Mengulas lanjut beliau berkata, pada suku keempat tahun ini pihaknya juga akan membuat pengumuman mengenai pembinaan sebuah hotel baharu di lokasi tersebut yang sekali gus dapat meningkatkan lagi nilai hartanah di situ.

Dalam pada itu, diminta me­ng­ulas mengenai harapan Bajet 2018, Abdul Wahid berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat menyedia­kan insentif bersesuaian yang dapat mempromosikan dana swasta dan modal ekuiti.

Mengenai jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) katanya, PNB telah menyemak se­mula jangkaan pertumbuhan da­ripada 4.3 peratus kepada 5.3 peratus.

“Kita menyemak semula sasaran KDNK berikutan pertumbuhan memberangsangkan melibatkan sektor pembinaan yang telah memberikan nilai tinggi kepada projek-projek infrastruktur sekarang.

“Pada masa sama, sektor pertanian dan pembuatan juga menunjukkan momentum pertumbuhan yang agak memberangsangkan,” katanya.