Ketua Pemegang Ke­pentingan, Komunikasi dan Bahagian Pengurusan Risiko Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) Sdn. Bhd., Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, Petronas menyasarkan dapat melengkapkan 98 peratus projek tersebut menjelang hujung tahun ini.

Katanya, berdasarkan kemajuan yang dicapai secara tidak langsung meletakkan PIC dalam momentum yang betul untuk memulakan operasi sepenuhnya pada suku pertama 2019.

“Kita juga jangkakan aliran masuk minyak mentah yang pertama dari Regasification Terminal 2 (RGT2) ke kilang penapisan akan menjalani ujian kemasukan pada 21 Oktober ini.

“Dua projek yang beroperasi sebulan lebih awal berbanding jadual ialah RGT2 dan Projek Bekalan Air Mentah (Pamer),” katanya dalam sidang akhbar kemajuan projek tersebut di sini hari ini.

Pamer iaitu satu daripada enam kemudahan sokongan PIC telah siap dan beroperasi sejak 18 Julai 2016.

PIC menerima Keputusan Pelaburan Akhir pada 2014 dan melibatkan lebih daripada 40 pakej utama kontraktor kejurute­raan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC), 13 pemegang lesen dan lebih 200 pembekal dan kontraktor.

Projek itu meliputi kawasan seluas 2,526 hektar melibatkan sehingga 63,000 pekerja dari 65 buah negara bekerja dalam pelbagai peringkat pembinaan yang memerlukan 350 juta jam bekerja untuk dilengkapkan.

Kemudahan itu menempatkan kompleks petrokimia dan penapisan untuk menapis 300,000 tong minyak mentah sehari bagi menghasilkan produk petroleum untuk penggunaan domestik berdasarkan spesifikasi Euro 5 ter­utama gasolin dan diesel.

Selain itu, ia juga terdiri daripada RGT2, Pamer, Loji Kojana Pengerang (PCP), Unit Pengasing­an Udara (ASU) dan Terminal Air Dalam Pengerang (PDT).

Menurut Anita Azrina, setakat ini Petronas telah menggunakan 60 peratus daripada nilai pelaburan pembangunan PIC berjumlah AS$27 bilion (RM105 bilion) untuk projek berkenaan.

Projek RAPID yang diumumkan pada 2011 mendapat pelaburan bernilai AS$7 bilion (RM31.13 bi­lion) daripada pengeksport terbesar mi­nyak mentah dunia, Saudi Arabian Oil Co. (Saudi Aramco) pada Februari lalu.