Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Refinery and Petrochemical Corporation, Ir. Dr. Colin Wong Hee Huing berkata, dalam jangka masa panjang, PIC bakal memberikan nilai yang cukup tinggi kepada Petronas.

“Oleh kerana itu, amat penting bagi Petronas memastikan projek ini diselesaikan dengan cekap. Projek ini tidak hanya bakal meluaskan portfolio perniagaan Petronas tetapi juga berperanan sebagai pemacu bagi pelaburan-pelaburan lain yang seterusnya memberi manfaat kepada negara.

“Kami bertekad untuk menyiap-
kan projek ini dalam masa 58 bulan dari tarikh FID, yang mana ia satu jangka masa yang tidak begitu panjang.

“Di tengah-tengah ketidaksta­bilan industri minyak dan gas seperti sekarang ini, projek ini berada di landasan yang tepat untuk siap pada suku pertama 2019 de­ngan selamat dan mengikut bajet,” kata beliau kepada Utusan Malaysia yang meninjau tapak PIC di sini baru-baru ini.

Colin berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, kerja keras, tanggungjawab, dedikasi, dan kerjasama di antara semua pihak yang terlibat dalam projek PIC amatlah diperlukan.”

“Setakat Mac 2017, PIC telah siap 62.5 peratus. Kami sedang menggiatkan lagi kerja-kerja pem-
binaan bagi memastikan projek ini siap pada suku pertama 2019,” ujar beliau.

Menurut beliau, Projek Air Mentah RAPID (PAMER) iaitu satu daripada enam kemudahan sokongan PIC, telah siap dan beroperasi sejak 18 Julai 2016.

“PAMER menyalurkan 30 juta liter air sehari ke empangan Sungai Lebam bagi menambah bekalan air sedia untuk kegunaan penduduk negeri Johor manakala 230 juta liter lagi disalurkan ke PIC,’’ katanya.

Beliau berkata, satu lagi kemudahan yang dikenali sebagai Loji Kogenerasi (Cogeneration) Pengerang, merupakan loji jana kuasa Cogeneration terbesar di rantau ini, menggunakan teknologi turbin gas kelas H milik Siemens yang dilengkapi dengan konfigu­-
rasi turbin wap ber­kembar bagi memastikan kecekapan yang tinggi.

“Di samping menjana kuasa, loji ini mampu menghasilkan stim bagi kegunaan PIC. Loji ini dijangka siap tahun ini dan mampu menghasilkan elektrik melebihi 1,220 megawatt di mana 600 megawatt akan disalurkan ke grid nasional dan selebihnya untuk PIC,’’ jelas beliau.

Projek RAPID yang diumumkan pada 2011 mendapat pelaburan bernilai AS$7 bilion (RM31.13 bilion) daripada pengeksport terbesar mi­nyak mentah dunia, Saudi Arabian Oil Co. (Saudi Aramco) pada Februari lalu.