Ketua Pegawai Ek­sekutif­nya, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, laporan The Edge Weekly yang mendakwa ko­nonnya kerajaan sudah menyenarai pendek dua konsortium bagi me­laksanakan projek laluan tiga MRT atau MRT3 Circle Line (MRT3) adalah tidak tepat.

“Setakat ini, belum ada sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan.

“Kami masih lagi menunggu mesyuarat seterusnya yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mana tarikhnya belum diketahui lagi. Apatah lagi dengan ke­sibukan menjelang tarikh Pilihan Raya Umum ke-14, kita masih lagi menunggu mesyuarat ini.

“Jadi, kami menafikan laporan ini dan ia tidak tepat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

The Edge Weekly hari ini yang memetik ‘sumber’ me­laporkan mesyuarat peringkat tertinggi diadakan Isnin lalu oleh Perdana Menteri bagi membincangkan berkaitan kontrak berkenaan te­lah menyenarai pendek dua konsortium untuk projek ber­kenaan yang dipilih berdasarkan keupayaan teknikal masing-masing.

Kedua-dua konsortium tersebut ialah MMC Corp Bhd. (MMC)-Gamuda Bhd. George Kent Bhd. dan usaha sama China Communications Construction Company Ltd. China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. (CCCCJV).

Empat konsortium telah mengemukakan tender turnkey bersama pembiayaan bagi projek tersebut yang dianggarkan bernilai RM45 bilion. Ia menyaksikan tiga daripada empat penye­rahan tender ber­kenaan adalah daripada konsortium syarikat Malaysia.

Selain dua konsortium ber­ke­naan, dua lagi syarikat yang mengemukakan tender ialah konsortium Sapura Group-Top International Engineering Corp (TIEC) dan konsortium Pacific Construction Group Company Ltd. Mudajaya Group Bhd. Jaycorp Engineering and Construction Sdn. Bhd. (JEC).

Fasa pertama MRT3 dijangka siap menjelang Disember 2025. Kerajaan meluluskan pembinaan projek berkenaan pada 30 Oktober tahun lalu.

MRT3 melibatkan laluan se­panjang 40 kilometer (km) de­ngan anggaran 32 km akan berada di bawah tanah dan 26 stesen dirancang sepanjang jajaran.

Laluan MRT3 akan melalui kawasan berkapasiti tinggi sekitar Greater KL yang menghubungkan lebih banyak stesen sedia ada bagi melengkapkan jaringan pe­ngangkutan awam di ibu negara termasuk rangkaian stesen daripada perkhidmatan Transit ­Aliran Ringan (LRT), KTM Komuter, KL Monorel serta jajaran MRT1 dan MRT2.

Di bawah struktur baharu melalui kontrak siap guna atau turnkey itu, syarikat berkenaan perlu mengemukakan pakej pem­biayaan sehingga 90 peratus da­ripada jumlah kos MRT3 untuk sekurang-kurangnya tempoh 30 tahun bayaran semula dan dipersetujui dengan moratorium bagi lapan tahun pertama.

Kontraktor juga perlu membina dan membiayai projek ber­kenaan di bawah kontrak turnkey dan pembida yang berjaya akan bertanggungjawab bagi kerja-kerja kejurute­raan, perolehan, pem­binaan, pe­ngujian dan pentau­­li­ahan projek tersebut.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berharap kerajaan memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk membabitkan diri dalam projek MRT3 berdasarkan kepakaran yang mereka ada setelah terlibat dalam projek MRT1 yang berjaya disiapkan lebih awal dan MRT2 masih dalam pembinaan.

MMC terlibat dalam projek MRT melalui MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd yang ditubuhkan pada 30 Mac 2012 dan terlibat dalam kerja-kerja bawah tanah bernilai RM15.47 bilion untuk projek MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).