Menurut syarikat penerbangan itu, dengan harga senarai bagi lapan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner adalah AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion), pihaknya akan terus berunding untuk mendapatkan nilai terbaik apabila me­lakukan tempahan pesawat.

Jelasnya, Malaysia Airlines akan membuat pertimbangan dengan teliti terhadap segala pilihan yang ada selaras dengan keperluan operasi dan perniagaan dalam memperkukuhkan kedudukannya dalam arena pe­nerbangan di peringkat global.

Jelas Malaysia Airlines, sekiranya pesanan tersebut dilakukan, beberapa pesawat 787-9 Dreamliner yang diterima awal dirancang untuk beroperasi ke negara-negara ASEAN.

“Kami juga sedang memper­tim­bangkan pilihan sama ada mahu menggunakan pesawat Airbus A330-200/300 atau pesawat Airbus A330neo yang baharu untuk mengembangkan perniagaan dan penggantian pesawat sedia ada.

“Sehingga kini, kami mempunyai tempahan pasti sebanyak 25 pesawat Boeing 737 dengan yang selebihnya sebagai pilihan. Pilihan tersebut dan pelbagai pe­nga­turan lain termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Boeing baru-baru ini, akan memberi sedikit kelonggaran dalam menentukan pesawat yang sesuai dengan operasi.

“Untuk itu, Malaysia Airlines akan terus membuat penilaian dengan penuh teliti terhadap segala pilihan yang ada untuk memastikan pembelian pesawat kami adalah selaras dengan keper­luan operasi dan perniagaan. Ini amat penting dan selaras dengan pengurusan pesawat yang berhemat dan usaha pengawalan kos di seluruh kumpulan,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 12 September lalu, Boeing dan Malaysia Airlines menandatangani MoU untuk membeli 16 pesawat dengan masing-masing lapan 787 Dreamliners dan 737 MAXs di Washington D.C ketika kunjungan Perdana Menteri, Da­tuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS).

Pengumuman itu termasuk lapan 787-9 Dreamliners dengan mengubah tempahan lapan pesawat Boeing 737 MAX Malaysia Airlines sedia ada dan tambahan lapan hak pembelian 737 MAX 8s, selain perkhidmatan Global Fleet Care Boeing bagi mengurus kumpulan pesawat syarikat pe­nerbangan itu yang sedia ada dan pesawat Boeing akan datang.

Bagaimanapun, pembelian pe­-
sawat itu dipersoalkan oleh segelintir pihak mengenai kewajaran­nya terutama ketika syarikat penerbangan nasional itu sedang melalui proses penstrukturan semula.

Semalam, dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Ingge­ris, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew dalam memo dalaman bertarikh 15 September berkata, pesawat itu tidak akan dimiliki oleh Malaysia Airlines tetapi dibuat melalui operasi pajakan.

Malaysia Airlines mempunyai 54 pesawat Boeing 737-800 de­ngan 48 pesawat sedang beroperasi manakala enam pesawat lagi sedang menjalani program penyelenggaraan pulangan pajakan sebagai persediaan untuk dipulangkan semula kepada pemajak sekitar Disember 2017.

Pada 2018 katanya, syarikat beroperasi menggunakan 44 pesawat Boeing 737-800 setiap hari dengan tiga pesawat akan menjalani penyenggaraan dan satu sebagai pesawat ganti sedia menjadikan kesemua 48 pesawat Boeing 737-800 yang sedang berope­rasi akan mula mencapai akhir sewa pada awal 2019.

Menurutnya, seperti yang di­la­porkan sebelum ini, syarikat penerbangan berkenaan telah meneroka pelbagai pilihan untuk pesawat bersaiz besar (wide body) dengan kemungkinan penghantaran pesawat pada 2018 dan 2019 bagi menangani pertumbuhan pesat jualan tiket antarabangsa yang memerlukan pesawat tambahan.

“Pesawat 787-9 adalah satu-satunya pesawat komersial yang memiliki keupayaan untuk terbang jauh dan boleh beroperasi tanpa henti dari Kuala Lumpur ke mana-mana destinasi di Eropah dan bandar-bandar utama di pantai barat AS.

“Malah, pesawat yang sama juga boleh mengendalikan perkhid­-
matan yang berkualiti tinggi ke Tokyo atau penerbangan sehingga 17 jam, menawarkan fleksibiliti kepada syarikat penerbangan untuk menguruskan pelbagai peluang pasaran dalam tempoh 20 tahun seterusnya,” katanya.

Malaysia Airlines memberitahu, pada 2016 mereka membuat pesanan sebanyak 25 pesawat tempah pasti untuk 737-MAX8 dengan 25 lagi sebagai pilihan de­ngan pesawat tersebut ditempah sebagai menggantikan pesawat sedia ada kerana penggantian akan bermula pada 2019.

Katanya, pesawat 737 MAX direka untuk menawarkan prestasi yang lebih, fleksibiliti dan kecekapan kepada pelanggan dengan kos setiap tempat duduk yang lebih rendah dan jarak penerbangan yang lebih jauh, sekali gus membolehkan Malaysia Airlines merancang untuk membuka destinasi baharu.

“Pada Jun tahun ini, kami mem­buat perjanjian baharu de­ngan Boeing untuk memboleh­kan kami memilih pesawat 737-MAX10 yang terbaharu iaitu sebanyak 10 pesawat daripada 25 pesawat 737-MAX8 yang telah kami tempah dahulu,” katanya.