Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, potensi kerjasama antara syarikat pembekal automotif kedua-dua negara dapat dicapai melalui sesi pemada­nan perniagaan yang diadakan di Jepun.

Katanya, kerjasama antara ke­dua-dua pihak melibatkan pelbagai bidang yang mana syarikat ber­kenaan dapat mengambil peluang terhadap potensi pertumbuhan ekonomi dalam pasaran ASEAN dan antarabangsa.

“Malaysia merupakan negara mesra Jepun dengan lebih 30,000 rakyat Jepun kini tinggal dan be­kerja di sini malah kira-kira 3,000 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia yang membuktikan negara ini merupakan tempat terbaik bagi menubuhkan perniagaan.

“Syarikat Jepun bukan sahaja mengambil peluang daripada potensi pertumbuhan ASEAN, malah Malaysia juga merupakan negara dengan potensi pertumbuhan eko­nomi terbaik bagi mereka de­ngan pertumbuhan antara 4.5 hingga 4.7 peratus dijangka berlaku di Malaysia tahun ini,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebanyak 44 pembekal barangan automotif dan syarikat perdagangan Jepun serta 25 pembekal barangan automotif Malaysia menghadiri sesi pemadanan perniagaan yang dianjurkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI) dan dihoskan oleh Hyakugo Bank of Japan, semalam.

Majlis berkenaan juga merupakan kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Persatuan Perdagangan Jepun (Jetro) dan disokong oleh Perodua.

Yang turut hadir Pengerusi Hyakugo Bank, Tsuyoshi Ueda; Ketua Pegawai Operasi MAI, Nizma Mohd. Nazar dan Pengarah MIDA Tokyo, Zahirul Ishak.

Mengulas lanjut, Aminar Rashid berkata, majlis berkenaan bukan sahaja menjadi saat bersejarah kepada industri automotif tanah air, malah kepada Perodua dengan 25 pembekal barangan automotif terpilih merupakan pembekal Pe­rodua yang terbaik dalam bidang masing-masing.

“Kesemua 25 pembekal Perodua ini telah dipilih berdasarkan dedikasi mereka terhadap meningkatkan kualiti, disiplin dan produktiviti, pada masa yang sama sentiasa komited dalam pengurusan kos yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Nizma berkata, Jepun telah lama menjadi rakan dagangan Malaysia dan ia merupakan negara kedua terbesar dalam sektor produk automotif melalui nilai perdagangan sebanyak RM6.8 bilion pada 2015.