Saya bercakap melalui telefon selama tiga jam dengan beliau untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang seminar yang akan dijalankan, tajuk dan industri yang berkaitan dengan seminar tersebut, tarikh dan masa yang dirancang, tempat di mana ia akan diadakan, siapakah sasaran peserta dan sebagainya. Rupa-rupanya syarikat beliau menjalankan kursus-kursus berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja dan seminar yang akan dijalankan secara langsung ada kaitannya tentang subjek ini. Yang paling menarik sekali, ia akan diadakan dalam masa dua bulan lagi, iaitu pada 21 dan 22 Februari 2018 yang akan datang!

Biasanya setiap kempen pemasaran yang saya lakukan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan bagi mendapatkan hasil yang terbaik, tetapi kali ini saya hanya diberi masa dua bulan bagi mengisi tidak kurang 70 tempat duduk yang setiap satu berharga RM1,700. Satu tugasan yang amat mencabar tetapi tidak dinafikan memang menarik. Saya terus menerima cabaran ini setelah seharian berfikir. Projek ini tidak mustahil boleh berjaya sekiranya strategi yang disediakan itu cukup kreatif.

Saya mengambil masa selama lima hari untuk melakar strategi yang saya namakan pemasaran yang tiada hari esok. Ia menggunakan jalan-jalan pintas yang saya mampu fikirkan yang mempunyai kemungkinan besar akan berjaya. Ini yang akan dilakukan.

Laman web ringkas, tetapi padat dan bersih

Laman web amat penting dalam kempen pemasaran pin­­tas saya kerana di sini bakal-bakal peserta yang berminat akan membuat sedikit pengesahan tentang seminar yang dicanangkan itu. Kerja rumah sebegini memang biasa terutamanya apabila kempen yang dilakukan menggunakan kaedah digital kerana terlalu banyak penipuan sekarang di mana-mana. Dalam pada masa yang sama, diletakkan juga satu butang CTA atau Call-To-Action di dalam laman web tersebut. Ia semata-mata bertujuan bagi ‘memujuk’ para pengunjung yang berminat untuk mendaftar untuk terus membuat pendaftaran.

Laman Eventbrite

Apabila butang itu diklik, para pengunjung tadi akan dibawa ke laman Eventbrite. Laman web ini dibina oleh Kevin Hartz, Julia Hartz dan Renaud Visage pada tahun 2006 bagi memudahkan sesiapa sahaja untuk mengadakan majlis dan seminar terutamanya dari aspek pemberitahuan tentang latar belakang majlis atau seminar yang bakal berlangsung, proses pendaftaran, tempahan yang boleh dibuat dan bayaran secara elektronik yang lebih mudah.

Senarai e-mel nama-nama yang berpotensi untuk datang

Pasukan saya bakal menggunakan e-mel korporat daripada syarikat ini untuk menghantar e-mel kepada setiap nama yang ada di dalam pengkalan data yang diberikan. Sasaran ini biasanya tepat kerana mereka adalah daripada kumpulan yang betul. Cara penulisan kandungan e-mel juga penting. Kita berhasrat untuk tidak menggunakan apa-apa gambar atau imej html tetapi hanya melalui perkataan. Ini akan lebih menjadikan e-mel yang akan dihantar itu lebih bersifat peribadi.

Parameter atau kategori latar belakang sasaran peserta untuk media sosial

Kita juga mewujudkan parameter latar belakang sasaran peserta. Peringkat umur, pekerjaan, minat, industri, jantina, lokasi dan sebagainya perlu diketahui kerana kita bakal menggunakan iklan berbayar di rangkaian-rangkaian media sosial yang telah dikenalpasti.

Bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, hospital dan syarikat ambulans yang berkaitan

Kita perlu mengambil kesempatan ini untuk mewujudkan kerjasama menang-menang dengan agensi kerajaan, hospital dan syarikat-syarikat ambulans yang berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan pekerja, dan menggunakan mekanisme mereka bagi membesarkan lagi pengedaran maklumat tentang seminar ini. Mereka mempunyai ekosistem yang amat luas daripada aspek peserta dan juga vendor-vendor tertentu yang berkaitan.

Menggunakan pengaruh kalangan para profesional dari pada industri yang sama

Kita telah mengenalpasti seku­rang-kurangnya 20 individu profesional yang boleh membantu kempen ini dengan memberitahu rakan-rakan media sosial mereka tentang seminar ini. Mereka perlu membantu untuk memuat naik status yang kita akan berikan nanti. Bayangkan sekiranya mereka mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 orang rakan di media sosial kegemaran mereka, dengan 20 orang individu tadi, kempen ini mampu mencecah 20,000 orang dalam sekelip mata.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti blog beliau di azleen.com