Pengambilalihan tersebut melibatkan pemindahan semua aset, hak milik tanah, lesen pembalakan termasuk mengekalkan pekerja SFI sedia ada.

Syarikat itu juga komited untuk membayar gaji pekerja memandangkan ada antara mereka kini mengambil skim pemberhentian sementara selain menjaga kebajikan para pekerja termasuk menyediakan sokongan dan latihan, menambah baik keperluan asas serta memberi bantuan kepada sekolah tempatan.

Kerajaan negeri Sabah memberikan sokongan padu terhadap proses berkenaan dan mengambil pelbagai langkah proaktif untuk menyelesaikannya kerana masalah berkenaan melibatkan sumber ekonomi utama penduduk setempat.

Masalah pembayaran hutang yang melanda SFI menyebabkan syarikat itu terpaksa menghentikan operasinya pada awal tahun ini sekali gus menyebabkan 1,500 pekerja yang kebanyakannya penduduk tempatan terpaksa mengambil skim pemberhentian sementara dan menerima gaji yang dipotong sebanyak 50 peratus sejak Januari lalu.

Pelangi Prestasi merancang untuk memulihkan semula SFI terutama pada operasi kilang pulpa dan kilang. Dalam tempoh lima tahun, pembangunan mampan kawasan konsesi hutan bakal memaksimumkan nilai melalui proses bersepadu dan kepelbagaian produk.

Ini termasuk pengeluaran pelbagai produk kayu menggunakan kemudahan sedia ada, mewujudkan Hab-Bio baharu menggunakan sisa perhutanan, ladang pertanian, membangunkan jeti kepada pelabuhan moden.

Perancangan itu mampu merangsang pertumbuhan ekonomi lebih dari RM6 bilion dan menyediakan 3,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang. - UTUSAN ONLINE