Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman
AZMAN MOHD. 

Pembaharuan yang dilaksa­na­kan Malaysia pada tahun lepas meliputi enam bidang, termasuk kemudahan elektrik, menyebabkan peningkatan mendadak dalam skor perniagaan secara keseluruhan.

Dalam bidang mendapatkan bekalan elektrik, laporan itu menyatakan Malaysia kini disenaraikan di tempat keempat di peringkat global, dengan kos bagi perniagaan untuk mendapatkan sambungan elektrik di negara ini hanya 26 peratus daripada pendapatan perkapita berbanding purata sebanyak 625 peratus di Asia Timur dan Pasifik.

Pencapaian itu melambangkan pelbagai usaha transformasi Tenaga Nasional Bhd. (TNB) yang berterusan apabila ia sentiasa berusaha untuk me­ningkatkan perkhidmatannya kepada pelanggan dan negara, seperti yang terkandung dalam slogannya, ‘Lebih Baik. Lebih Cerah’.

Slogan itu, sejajar dengan moto iaitu ‘Pelanggan sentiasa diutamakan’, menyaksikan TNB mengambil langkah evolusi de­ngan menggunakan pendekatan yang berteraskan nilai untuk menyediakan perkhidmatan yang cemerlang untuk seiring de­­ngan perubahan inovatif yang pe­sat dalam industri tenaga.

Di bawah pelan strategik yang sedang dijalankan hingga 2025 bertujuan memastikan pelanggan berpuas hati dan TNB akan terus me­lakukan inovasi dan memanfaatkan teknologi untuk membentuk masa depannya.

Pelan strategik itu bertujuan untuk meningkatkan strategi dan amalan perniagaan TNB ke arah pembangunan mampan dalam rantaian nilai daripada penjanaan kepada penghantaran dan pengedaran (grid) serta perkhidmatan pelanggan.

“Dengan landskap industri yang berubah, kita perlu menggunakan pendekatan ber­teraskan nilai untuk meme­nuhi ke­perluan pelanggan kita, termasuk selain penggunaan elektrik seperti penyelesaian penjimatan tenaga,” kata Pre­siden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. dalam kenyataan kepada pemegang saham untuk laporan tahunan bersepadunya berakhir 31 Disember 2017.

Syarikat utiliti tenaga nasional itu telah menggunakan teknologi dalam pelbagai bentuk untuk memberikan penja­gaan yang luar biasa kepada pe­langgan dan memastikan mereka mendapat perkhidmatan yang terbaik dan paling mudah.

Misalnya, dari segi saluran pembayaran, TNB telah memperluaskan perkhidmatannya se­­lain di kaunter (di rangkaian Ke­dai Tenaga, Pos Malaysia dan kedai serbaneka seperti 7-Ele­ven) dengan mempunyai kemudahan seperti e-pay, debit langsung, perbankan internet, kiosk pembayaran dan JomPAY.

Selain itu, TNB kini mempunyai portal dikenali sebagai myTNB self-service portal dan myTNB app untuk memberikan ketelusan dan akses yang lebih baik.

Portal dan aplikasi telefon pintar itu membolehkan 8.8 juta pelanggan TNB di Semenanjung Malaysia menyemak atau membayar bil bulanan, memohon bekalan elektrik atau menutup akaun, semua di hujung jari mereka.

Pada dasarnya, semua per­khidmatan yang biasa dilakukan oleh pelanggan di Kedai Tenaga boleh dilakukan melalui portal dan aplikasi itu.

Bagi meningkatkan lagi ku­­a­liti perkhidmatannya yang cemerlang, TNB turut menaik taraf rangkaian gridnya, yang kini meliputi kira-kira 22,000 kilo­meter (km) di Semenanjung.

TNB akan memulakan projek grid masa depan iaitu rangkaian gridnya bakal menjadi antara grid paling pintar, paling automasi dan dijana secara digital di dunia.

Menaik taraf Grid Nasional termasuk super-highway baharu akan membantu TNB memenuhi keperluan elektrik semasa dan masa depan, terutamanya di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang tinggi se­perti Kuala Lumpur dan Selangor. Projek itu akan membolehkan TNB memanfaatkan tenaga dari loji tenaga akan datang di Pantai Barat Semenanjung ke Grid Nasional.

Pada masa sama, TNB memasang meter pintar sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhannya untuk membina infrastruktur meter yang maju meliputi 340,000 pelanggan kediaman di Melaka, dengan pelan untuk tambahan 1.2 juta pelanggan di Lembah Klang sebelum meluaskan ke seluruh Semenanjung.

“Akhirnya, transformasi grid kami akan memberi pengalaman dan penawaran baharu kepada pelanggan berikutan inovasi dimasukkan ke dalam grid kami,” kata Azman.

Susulan TNB memacu ke arah pendekatan berteraskan nilai yang dipertingkatkan, syarikat utiliti tenaga nasional itu akan turut menawarkan kepada pe­langgan pengalaman yang lebih baik dengan memulakan penjanaan tenaga bersih dan pakej teknologi rumah pintar, penjimatan tenaga dan penyelesaian kecekapan tenaga.

Bagi mengekalkan usaha ke arah kepuasan pelanggan yang berterusan, TNB turut mengambil langkah untuk menaik taraf pusat hubungannya dan me­ning­katkan keupayaan tenaga kerja dalam sains data dan digital untuk memenuhi keperluan pelanggannya yang semakin kompleks.

Menariknya, kerajaan telah meminta TNB untuk mempertimbangkan menawarkan rangkaian fiber optiknya kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco), untuk menggalakkan persaingan dan pilihan kepada penyedia perkhidmatan data dan suara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo telah menyatakan bahawa TNB mempunyai infrastruktur fiber yang sedia ada yang boleh digunakan oleh telco, dan akan membawa kepada penggunaan fiber yang lebih cepat dan murah di seluruh negara.

TNB telah memulakan projek perintis di Jasin untuk menilai dari segi teknikal, keselamatan dan daya maju komersial dalam menggunakan infrastruktur elek­­­­trik TNB untuk inisiatif itu.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie sebelum ini berkata, sistem telekomunikasi sentiasa menjadi sebahagian daripada industri utiliti berikutan rangkaian telekomunikasi TNB menggunakan teknologi fiber optik sebagai sebahagian daripada reka bentuk dan keperluan operasi grid elektrik untuk memastikan bekalan elektrik dengan kebolehpercayaan yang tinggi di seluruh negara.

Sehubungan itu, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh TNB untuk manfaat pelanggan mencerminkan visinya yang kukuh bahawa sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan tidak kira berapa lama dalam perniagaan. – BERNAMA