Pengurus Industri Teknologi dan Telekomunikasi Google Malaysia, Jamie Mapa berkata, sebanyak 72 peratus responden pula merasakan faktor kualiti dan prestasi produk perlu dipertimbangkan selepas harga.

Menurut beliau, mengete­ngahkan kandungan yang tepat juga membantu menarik minat bakal pembeli.

“Para pembeli mementingkan harga yang mampu dibayar serta peluang untuk menaik taraf pelan sedia ada sebelum mengambil kira aspek lain seper­ti kualiti atau prestasi produk, ciri-ciri dan liputan rangkaian,” katanya dalam pembentangan kajian Bagaimana Rakyat Malaysia Memilih Pelan Mudah Alih di sini hari ini.

Sementara itu, Mapa menjelaskan, secara amnya proses pembelian pelan mudah alih adalah mengelirukan walaupun pembeli mengingati dengan jelas semua jenama yang dibandingkannya.

Jelasnya, sama ada tidak tahu atau mempunyai pengetahuan yang sedikit berkenaan produk itu akan memberi kesan kepada proses membuat keputusan.

Katanya lagi, 37 peratus res­ponden menyatakan mereka tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai produk yang dikaji sementara 41 peratus pengguna mempunyai sedikit pengetahuan dan hanya 22 peratus yang memahami produk yang diinginkan.

“Pengetahuan yang terhad menyebabkan 92 peratus bakal pembeli memulakan kajian di laman carian untuk mendapatkan maklumat. Selepas itu, mereka akan membuat carian lanjut di laman web pembekal perkhidmatan, media sosial dan lain-lain laman web dalam kategori berkaitan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh majoriti pembelian berlaku di luar talian dengan 86 peratus pengguna sudah membuat keputusan sebelum berkunjung ke kedai,” ujarnya.

Kajian tersebut dijalankan oleh Google dan Kantar TNS pada suku ketiga 2017 dengan melibatkan 500 responden ber­umur antara 18 hingga 35 tahun.