Khalid Al-Falih
Khalid Al-Falih

Pengakuan itu dibuat oleh Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid Al-Falih, dengan menyifatkan Malaysia serta rantau ini adalah pasaran terpenting dunia setelah mempamerkan perkembangan ekonomi yang pesat sejak 30 tahun lalu.

Katanya, penglibatan Saudi Aramco di dalam Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor menjelaskan bagaimana Arab Saudi percaya kaedah terbaik untuk menerokai Asia adalah menerusi kerjasama dengan rakan strategik yang berkebolehan.

“Petronas menepati ciri-ciri yang kami mahukan. Cara terbaik adalah dengan me­nga­dakan kerjasama rapat dengan institusi yang benar-benar menge­tahui selok-belok pasaran di rantau ini,” katanya dalam ucaptama khas sempena Persidangan Minyak dan Gas Asia (AOGC ) Kali Ke-19 di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Pelaburan syarikat mi­nyak Arab Saudi itu di Malaysia disifatkan antara keputusan terbesar yang dicapai dalam lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia pada hujung Februari lalu.

Dalam pada itu, Khalid optimis industri minyak dan gas (O&G) akan kembali pulih setelah melalui fasa getir akibat ketidaktentuan harga minyak sejak 2014.

“Beberapa indikator menunjukkan pasaran minyak global telah mula pulih dan menuju ke arah ke­seimbangan semula. Kadar permintaan minyak global juga bakal meningkat di­sebabkan permintaan di pasaran utama se­perti China dan India,” katanya.

Beliau juga berkata, disiplin dan komitmen yang masih ditunjukkan oleh ahli-ahli Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC untuk me­ngurangkan keluaran minyak masing-masing sejak hujung tahun lalu akan membantu harga komoditi itu kekal stabil.

“Malah, berdasarkan pertemuan saya dengan negara-negara yang terlibat dalam pengurangan ini, diyakini persetujuan bersama ini akan diteruskan lagi untuk separuh kedua tahun ini,” katanya.