Pemilihan bandar tersebut juga boleh dianggap tindakan yang tepat kerana bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat bandar dan sekitarnya tetapi penduduk di kawasan pedalaman seperti Kapit, Mukah, Sarikei dan Kanowit yang mengambil masa berjam-jam perjalanan untuk sampai ke Sibu.

Malah, tinjauan Utusan Malaysia mendapati kaunter Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) tidak pernah `surut’ dengan kedatangan pelanggan dari pelbagai pelosok daerah di Sarawak.

Kebanyakan mereka sama ada ingin membuka akaun baharu, menambah pelaburan mahupun mendapatkan khidmat nasihat tentang pemilihan dana unit amanah yang bersesuaian, menunjukkan bahawa kesedaran terhadap kepentingan melabur berjaya diterapkan dari semasa ke semasa.

Secara dasarnya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengambil inisiatif memperkenalkan jenama MSAM sejak 16 tahun lalu sebagai satu usaha untuk membuka minda masyarakat tentang pelaburan dalam unit amanah setelah kemunculan skim pertama ASNB, Amanah Saham Nasional (ASN) pada 1981.

Untuk rekod, PNB setakat ini telah mengurus 202.37 bilion unit amanah saham yang dilanggan 12.34 juta pemegang akaun menjadikan aset di bawah pengurusan PNB kini bernilai lebih RM273.1 bilion termasuk dana milik firma tersebut.

Sejak 1981 hingga Mac tahun ini, PNB telah mengagihkan pendapatan dividen dan bonus kepada pelabur-pelabur sebanyak RM130.55 bilion.

Ini sekali gus menunjukkan usaha mereka untuk mendekati segenap lapisan masyarakat semakin membuahkan hasil apabila penduduk di kawasan pedalaman juga menyedari tentang kepentingan melabur dan keperluan mengurus kewangan dengan baik.

Sehubungan itu, MSAM bukanlah satu acara pameran atau karnival semata-mata seperti mana yang dilihat secara mata kasar terutama bagi mereka yang tidak pernah mengambil peluang untuk menghadirinya.

MSAM adalah satu platform yang baik sekiranya kita mahu mendapatkan maklumat tentang saluran pelaburan yang betul.

Bercakap tentang saluran pela­buran, satu perkara yang cukup menarik untuk diperkatakan dapat dilihat yang mana setiap agensi seolah-olah berlumba-lumba untuk membawa produk mereka ke hadapan dan berupaya menarik perhatian pelanggan.

Sebagai pelanggan pula, pasti­nya kita mahukan sesuatu yang mampu memberi jaminan bukan sahaja dari segi pulangan dividen dan bonus tetapi sejauh mana pe­laburan yang dipilih itu mampu memberi jaminan untuk masa depan.

Sebenarnya, banyak pertimbangan perlu diambil kira sebelum membuat sebarang pelaburan dan meletakkan sejumlah wang di sesuatu tempat.

Sebahagian besar daripada kita secara dasarnya memikul banyak tanggungjawab sama ada menyara ibu bapa atau adik-adik yang masih belajar, tanggungan hutang rumah atau kenderaan dan seterusnya membesarkan anak-anak termasuk memberi mereka pendidikan berkualiti.

Malah kita juga, mengharapkan apabila sesuatu pelaburan itu dibuat, kita kemudiannya dapat mengharungi usia persaraan dengan jaminan kewangan dan perlindungan perubatan terbaik.