Penasihat Kanan ASEAN Advisory Pte. Ltd., Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, tindakan mengubah struktur sesebuah syarikat atau ‘dislocating’ dilihat tidak memberi dividen dalam jangka panjang.

Beliau yang juga bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), berpendapat inisiatif lain boleh dilaksanakan antaranya menggalakkan lebih banyak persaingan.

Katanya, pengenalan akses yang memudahkan dalam segmen telekomunikasi juga penting terutamanya dari aspek untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Saya faham Malaysia mempunyai agensi dan unit berbeza memerlukan mereka membuat semakan secara teliti sebelum meluluskan sesuatu projek. Tetapi, sekiranya kelulusan projek lebih mudah dan pantas, industri telekomunikasi dan fiber di dalam negara akan menjadi lebih maju.

“Sabah dan Sarawak antara dua negeri yang memerlukan pelaburan yang lebih banyak dalam infrastruktur fiber,” katanya kepada pemberita sempena hari kedua Persidangan Dasar Awam Dalam Dunia Digital di sini hari ini.

Menteri Komunikasi dan Mul­timedia, Gobind Singh Deo baru-baru ini berkata, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) wajar membuka rangkaian fibernya untuk menyokong keperluan negara ini meningkatkan penembusan jalur lebar.

Langkah itu, kata penganalisis, akan menyebabkan berakhirnya monopoli TM dalam sektor fiber di negara ini.

Jelas Mohamed Sharil lagi, an­tara cabaran lain penembusan jalur lebar di Malaysia adalah pihak berkuasa tempatan di setiap negeri yang ada antaranya membantu proses pemasangan fiber dan ada juga yang menyukarkan.

“Dalam hal ini, pihak berkuasa tempatan seharusnya memainkan peranan membantu syarikat te­lekomunikasi untuk memudahkan kerja-kerja mereka,” katanya.