MOHD. IBRAHIMNUDDIN MOHD. YUNUS
MOHD. IBRAHIMNUDDIN MOHD. YUNUS

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus berkata, tiga syarikat penerbangan tersebut ialah US-Bangla Airlines, Air Seoul dan Himalaya Airlines manakala AirAsia Berhad dan Malaysia Airlines masih kekal sebagai pe­langgan utama.

Katanya, ketika ini, PDB me­nguasai 70 peratus pasaran bagi bahan bakar untuk industri pe­nerbangan di negara ini dan sebarang peningkatan kepada penguasaan pasaran adalah bergantung kepada kemasukan syarikat pe­nerbangan ke Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

“Nilai kontrak ini adalah dalam satu jumlah yang besar dan tempoh masa pula ada yang antara enam hingga 12 bulan atau paling maksimum selama dua tahun bergantung kepada keperluan syarikat penerba­ngan berkenaan.

“Kami juga amat mengutamakan pe­langgan sedia ada, AirAsia contohnya, sebarang langkah pengembangan syarikat atau laluan baharu akan memberi kita banyak peluang dan begitu juga dengan Malaysia Airlines yang juga pelanggan besar kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan ke-36 di sini hari ini.

Yang turut ha­dir, Pengerusi PDB, Datuk Md. Arif Mahmood dan Ketua Pegawai Kewangan PDB, Norliwati Abdul Wahab.

Berdasarkan laman web PDB, Pe­tronas Aviation Sdn. Bhd., syarikat milik penuh PDB ditubuhkan pada 1978 sebagai cabang operasi penerbangan dan telah menjalin kerjasama dengan banyak syarikat penerbangan dan juga pengendali lapangan terbang.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, keuntungan selepas cukai PDB melonjak kepada RM1.59 bilion berbanding RM944.61 juta dicatatkan tempoh sama tahun lalu manakala perolehan naik 24.1 peratus kepada RM26.73 bilion berbanding RM21.53 bilion tahun sebelumnya.

Menurut Mohd. Ibrahimnuddin, tahun ini, PDB memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM300 juta berbanding RM400 juta pada tahun lalu dengan kebanyakannya digunakan untuk menaik taraf dan memberi wajah baharu kepada stesen sedia ada serta keseluruhan aktiviti pada tahun ini.

Katanya, ketika ini Petronas mempunyai 1,045 buah stesen di seluruh negara dan pihaknya merancang untuk membuka antara 10 hingga 15 stesen tahun ini.

“Secara keseluruhan, segmen komersial dan runcit menyumbang 90 peratus kepada perolehan PDB manakala selebihnya menerusi gas petroleum cecair (LPG) dan minyak pelincir,” katanya.

Beliau memberitahu, tiada sebarang penutupan stesen minyak Petronas setakat ini berikutan beberapa langkah dilaksanakan PDB, antaranya, memperkenalkan inisiatif margin jaminan peniaga bagi menangani ketidaktentuan harga dalam pasaran dan menambah baik kad Mesra Petronas yang turut menyumbang kepada keuntungan stesen berkenaan.