Pada masa ini sistem yang dijalankan di bawah Pengurusan Operasi Terminal Kehadapan (ATOM) itu telah dilaksanakan di terminal Lumut, Perak; Langkawi, Kedah dan Perai di sini.

Petronas adalah syarikat mi­nyak pertama yang memper­kenalkan sistem DN di Malaysia yang mene­rapkan konsep hijau dengan memperkenalkan sistem digital bagi proses penghantaran bahan api ke seluruh stesen minyak.

Pengurus Besar Bahagian Pembekalan dan Pengedaran PDB, Mohd. Shobri A. Bakar berkata, DN berupaya mengubah sistem penghantaran yang sebelum ini menggunakan kertas kepada sistem atas talian menggunakan tablet.

“Sistem ini dibangunkan di peringkat dalaman tanpa menggunakan khidmat konsultan dan berjaya meningkatkan kecekapan operasi apabila proses pengelua­ran bahan, pembayaran balik dan pengurusan dijalankan secara dalam talian.

“Melalui DN, pelanggan iaitu pengusaha stesen akan mendapat segala butiran secara automatik menerusi pangkalan data yang boleh dicapai di mana jua pada bila-bila masa serta terbukti lebih selamat, mudah dan mengurangkan ruang penyimpanan nota penghantaran biasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran ATOM yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus.

Mohd. Shobri menambah, me­la­lui penggunaan DN itu, pihak­nya juga berupaya mengurangkan kos pengurusan serta menarik lebih ramai rakan perniagaan baharu.

Jelasnya, para pelanggan juga boleh merujuk, menyemak, memuat turun, menjejak dan memantau status serta membuat penerimaan bahan api dengan hanya beberapa langkah mudah.

“Sistem ini juga mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kastam Diraja Malaysia yang menyokong penuh inisiatif ini.

“Pada masa sama kami juga masih melakukan sedikit penambahbaikan pada sistem ini yang akan membantu meningkatkan kecekapan serta memberi lebih kemudahan kepada pemandu dan pelanggan,” ujarnya.