Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, ba­gaimanapun syarikat merekodkan penurunan dalam keuntu­ngan sebelum cukai (PBT) sebanyak 11 peratus kepada RM391.5 juta ter­utama disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi yang tinggi.

SYED ZAINAL ABIDIN SYED MOHAMED TAHIR
SYED ZAINAL ABIDIN SYED MOHAMED TAHIR 

Katanya, untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2018, PDB merekodkan pertumbuhan empat peratus dalam PBT berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Tahun ini adalah untuk mencipta semula perniagaan kami, terutama segmen runcit, yang mana pelaburan diperlukan untuk mewujudkan pengalaman pelanggan yang unggul melalui penyelesaian inovatif dan perkongsian strategik yang akan membantu mengembangkan perniagaan bahan api dan bukan bahan api.

“Syarikat juga memberi tumpuan kepada agenda transformasi digital untuk meningkatkan kecekapan operasi bagi memastikan perniagaan kekal berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, segmen perniagaan runcit PDB ma­sing-masing merekodkan pe­ningkatan 2.3 peratus dalam jumlah jualan dan 5.5 peratus dalam keuntungan kasar.

Menurut Syed Zainal Abidin, ha­sil daripada kempen pemasaran yang berkesan dan penga­laman pe­langgan­ yang le­bih baik, perniagaan pelincir juga mencatat peningkatan 4.4 peratus dalam jumlah jualan dan meningkatkan keuntungan kasar sebanyak 8.4 peratus.

Sementara itu, segmen perniagaan komersial PDB merosot dalam jumlah jualan dan keuntungan kasar masing-masing sebanyak 8.5 peratus dan enam peratus disebabkan permintaan bagi diesel dan Jet A-1 yang lebih rendah.

Segmen perniagaan gas petroleum cecair (LPG) menca­tat penurunan margin dalam jumlah jualan sebanyak 1.8 peratus manakala keuntu­ngan kasar keseluruhannya juga merosot 30.7 peratus dise­babkan kos pengeluaran yang tinggi.

“Menjelang suku tahun be­rikutnya, syarikat akan berhati-hati terhadap ketidakstabilan harga minyak yang berterusan, ditambah dengan persekitaran ekonomi Malaysia dan sentimen pengguna yang akan memberi kesan kepada keuntungan kumpulan.