MD ARIF. MAHMOOD
MD ARIF. MAHMOOD

Pengerusinya, Datuk Md. Arif Mahmood berkata, peruntukan itu bagi tempoh dua tahun memandangkan kompleks tersebut akan mula beroperasi pada suku pertama tahun hadapan dengan kebanyakannya akan diperuntukkan pada 2019.

Katanya, PCG turut memperuntukkan capex tahunan seba­nyak RM600 juta bagi melaksanakan penyelenggaraan dan aktiviti pemulihan melibatkan operasi lojinya.

“Setakat Mac tahun ini, projek petrokimia di PIC menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan pada 74 peratus manakala keseluruhan PIC pula mencapai kemajuan sekitar 87 peratus.

“Projek petrokimia ini yang dijangka beroperasi pada 2019 adalah amat penting kepada pertumbuhan PCG dan berupaya memperluaskan portfolio dan kepelbagaian produk kepada derivatif dan bahan kimia khusus.

“Ini juga sejajar dengan pe­rancangan untuk meningkatkan sumbangan produk bahan kimia khusus kepada 15 peratus dalam tempoh 20 tahun berbanding ketika ini iaitu lima peratus daripada jumlah perolehan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan ke-20 di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah dan Ketua Pegawai Kewangan PCG, Rashidah Alias.

Pada 28 Mac lalu, PCG memuktamadkan perjanjian pegangan saham dengan Saudi Aramco bagi melupuskan 50 peratus kepen­tingan dalam PRPC Polymers Sdn. Bhd. (PRPC Polymers).

PRPC Polymers dan PC INA adalah dua syarikat operasi yang ditubuhkan di PIC bagi memperluaskan portfolio asas dan bahan kimia khusus. Pada tahun ini, PCG melengkapkan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) bagi loji Isononanol berkapasiti 250,000 tan setahun.

Selain PIC, projek pertumbuhan PCG juga merangkumi Kompleks Bersepadu Bahan Aroma dan Highly Reactive Polyisobutene (HR-PIB), dengan kedua-duanya terletak di Gebeng, Pahang.

Kompleks bersepadu itu mula beroperasi tahun ini dan mengeluarkan bahan aroma seperti Citral, Citronellol dan L-menthol manakala HR-PIB mula beroperasi Januari 2018.

Menurut Md. Arif, PCG akan memastikan kadar utilisasi operasi loji kekal berada pada 91 peratus dan ia merupakan satu cabaran besar kepada kumpulan pada tahun ini.

“Apatah lagi, Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn. Bhd. (sebelum ini dikenali sebagai Samur) menyumbang peningkatan volum sebanyak 10 peratus kepada 10.1 juta tan metrik berbanding 9.2 juta tan metrik sebelum ini,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Saudi Aramco, Sazali berkata, sebagai sebuah syarikat tersenarai awam dan beroperasi sebagai bisnes entiti, setiap pelaburan dan kerjasama dengan syarikat lain adalah berdasarkan ‘merit ekonomi’ dan strategi perniagaan dengan prinsip menang-menang.

“Pelaburan berpotensi dan ker­­jasama hanya akan dilakukan sekiranya ia melepasi paras penciptaan nilai yang minimum,” katanya.