Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah

Da Vinci Group B.V. adalah syarikat persendirian liabiliti terhad yang diperbadankan di Belanda dan terlibat dengan penjualan semula jenama sendiri, formulasi dan pembuatan silikon, bahan tambahan minyak pelincir serta bahan kimia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, pengambilalihan itu tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Pengambilalihan ini merupakan langkah pertama PCG untuk memasuki bahan kimia khusus melalui pertumbuhan bukan organik.

“Ia juga akan mempercepatkan visi PCG untuk mencipta nilai dengan mempelbagaikan portfolio produk ke dalam pembezaan dan bahan kimia khusus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Sazali, Da Vinci menyediakan akses menarik untuk perniagaan silikon yang sema­kin berkembang.

Katanya, pengambilalihan itu membolehkan PCG mengukuhkan kedudukan persaingannya dalam pasaran akhir seperti penjagaan diri, pembinaan, cat dan salutan, elektronik, automotif dan penjagaan kesihatan terutamanya di rantau Asia Pasifik.

“Apabila selesai kelak, Da Vinci akan menjadi subsidiari penuh PCG.

“Kami berharap untuk mempelbagaikan dan mengembangkan lagi perniagaan kepada pembezaan dan perniagaan bahan kimia khusus,” ujarnya.