Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata, jumlah susut nilai dan pelunasan (EBITDA) syarikat juga menunjukkan peningkatan positif sebanyak empat peratus kepada RM1.43 bilion.

Walau bagaimanapun katanya, jumlah perolehan bagi sembilan bulan tahun ini susut dua peratus kepada RM4.14 bilion berbanding RM4.22 bilion tahun lalu.

“Pertumbuhan yang dicatatkan ini didorong oleh pengukuhan yang berterusan dalam perkhidmatan yang ditawarkan kepada isi rumah dan pelanggan komersial di Malaysia namun pada masa yang sama, kami juga sedang mempersiapkan diri dengan membina ekosistem yang mencakupi aspek ‘Tonton, Dengar, Baca dan Beli’ sebagai pelengkap kepada gaya hidup digital individu di Malaysia dan serantau.

“Astro menyahut baik perubahan yang dibawa oleh teknologi digital dan mudah alih untuk terus menyokong teras syarikat yang mengutamakan pengguna dalam usaha menuju ke arah penambahbaikan syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rohana berkata, jangkauan dan penglibatan pengguna Astro terus kukuh apabila merekodkan 313,000 pelanggan baharu khususnya melalui perkhidmatan NJOI sekali gus meningkatkan jumlah langganan isi rumah kepada 5.3 juta, mewakili 73 peratus isi rumah dalam negara.

Menurutnya, di samping penembusan isi rumah, Astro juga sedang membina keupayaan dalam pasaran individu dengan lebih agresif untuk menjana aliran pendapatan baharu melalui pengiklanan digital, kandungan dalam aplikasi mudah alih (OTT) dan e-dagang.

“Kami akan terus memacu perniagaan sedia ada dengan memperkukuh dan menambah nilai kepada perkhidmatan yang ditawarkan kepada isi rumah dan penglibatan kepada pengiklan, pada masa yang sama giat membentuk acuan perniagaan baharu untuk masa depan yang mampan dalam ruangan kehidupan digital.

“Astro akan terus mempertahan aliran pendapatan teras di samping menjana pertumbuhan keuntungan dengan mempelopori bidang digital dan kecekapan pengurusan kos selain pelaburan dalam bidang-bidang baharu juga akan memperkasakan lagi kedudukan kami dan memberi pulangan keseluruhan yang positif kepada pemegang saham,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Rohana berkata, sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan portfolio jangka panjang yang strategik, Astro juga telah memeterai terma ikatan dengan Grup Majalah Karangkraf Sdn. Bhd. (GMK) dengan membentuk usaha sama yang mana Astro akan melabur RM100 juta untuk kepentingan sebanyak 51 peratus dalam Karangkraf Digital 360 Sdn. Bhd.

“Kerjasama ini akan meningkatkan kehadiran Astro di platform dalam talian terutamanya dalam kalangan pengguna berbahasa Melayu dan secara tidak langsung melonjakkan jumlah keseluruhan pelawat unik kepada kira-kira 10 juta orang.

“Inisiatif ini juga sejajar dengan matlamat syarikat untuk terus giat membangunkan kandungan vertikal nusantara dan Islamik selain menyasarkan untuk melaksanakan strategi pengewangan 360 darjah ke atas kandungan harta intelek Karangkraf Digital merentasi pelbagai platform,” katanya. - UTUSAN ONLINE