Sungguhpun begitu, pelabur dan pedagang saham masih berada dalam teka-teki untuk meramalkan sama ada indeks pasaran FBM KLCI mampu melepasi paras 1,800 mata atau tidak.

Kita masih berada dalam tempoh 100 hari manifesto Pakatan Rakyat untuk menunaikan janji kepada rakyat yang mana tidak dinafikan manifesto itu memberi kesan yang agak ketara di dalam pergerakan turun naik pasaran saham.

Tambahan pula, ramai pelabur dan pedagang runcit yang masih tidak berani memasuki pasaran setelah kejatuhan sejurus selepas Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan pada PRU kali ini.

Terdapat pelabur dan pedagang saham yang masih meng­alami kerugian di atas kertas walaupun indeks FBM KLCI melantun kepada 1,775 mata pada petang penutup Isnin setelah mengalami kejatuhan pada paras 1,709 mata sebelum ini.

Saham-saham yang telah mengalami penurunan terutama yang jatuh secara limit down telah perlahan-lahan naik kerana kejatuhan yang banyak itu membuka peluang bagi sesetengah pelabur untuk membeli saham semasa harga murah.

Pelabur yang berpengalaman lebih-lebih lagi yang mempunyai kesabaran yang tinggi untuk membuat pelaburan jangka masa panjang atau sederhana akan mengintai peluang semasa berita-berita buruk menyelubungi iklim pasaran.

Cikgu Saham berpendapat berita-berita buruk serta negatif akan keluar semasa pasaran atau harga-harga saham syarikat tersenarai mengalami kejatuhan. Dan berita-berita baik yang bersifat positif pula akan keluar untuk menggambarkan kea­daan pasaran yang sihat atau cergas. Dalam kata mudah, berita-berita baik ini keluar semasa pasaran mengalami kenaikan.

Justeru, semasa pasaran dalam keadaan baik atau menaik, pelabur-pelabur yang telah membeli saham semasa pasaran mengalami kejatuhan akan menanti berita-berita positif tentang pasaran keluar. Pada saat inilah harga-harga saham telah meningkat naik.

Di samping itu, pelabur yang berpengalaman akan menanti sentimen positif yang selalu terjadi berulang-ulang kali. Beberapa contoh ialah semasa window dressing pada penghujung setiap tahun, kesan bulan Januari setiap awal tahun (ke­cuali Pilihan Raya) dan rally Tahun Baharu Cina.

Keadaan ini terjadi hampir setiap tahun dalam pasaran saham Bursa Malaysia. Justeru, sesuatu kejatuhan yang terjadi di dalam pasaran saham merupakan satu peluang yang sepatutnya ditunggu-tunggu oleh pelabur dan pedagang yang bijak. Dan ia bukanlah satu kea­daan yang menakutkan atau sesuatu perkara yang perlu dijauhkan.

Kejatuhan yang selalu memberikan hasil yang lumayan di kemudian hari ialah ketika berlakunya kejatuhan yang dahsyat atau banyak. Semasa kejatuhan tersebut, terdapat banyak berita negatif yang keluar yang mengejutkan serta menakutkan pelabur.

Perkara ini merupakan sesuatu krisis atau peristiwa seperti yang telah diterangkan oleh Cikgu Saham pada rua­ngan yang lepas dan keadaan itu tidak harus dilepaskan oleh pelabur dan pedagang saham.

Tetapi perlu diingatkan bahawa semasa keadaan ini, pedagang jangka masa singkat perlu berhati-hati kerana harga saham pada masa itu mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk naik. Justeru, urus niaga kontra atau singkat adalah tidak sesuai.

Pedagang kontra, harian, intra-hari perlu menukar strategi kepada urus niaga yang memerlukan pegangan saham untuk tempoh yang lebih lama lagi. Juga, sewaktu keadaan ini, pelabur dan pedagang saham disyorkan membeli saham yang bersamaan jumlah modal tunai yang sedia ada di dalam akaun amanah dan jangan membeli melebihi had limit sekiranya tidak mempunyai cukup modal tunai untuk memegang saham bagi tempoh masa yang lebih lama.

Selain daripada itu, sedikit kajian berdasarkan analisis fundamental dan teknikal juga harus disertakan semasa dalam proses memilih saham-saham berpotensi untuk pelaburan jangka masa sederhana atau panjang.

Pelabur yang berpengalaman juga biasanya mempu­nyai senarai saham-saham kegemaran yang mereka telah arif tentang pergerakan saham-saham tersebut. Sebagai contoh, saham syarikat tersenarai ABC ini selalu bertindak balas sei­ring dengan penurunan atau kenaikan indeks pasaran FBM KLCI.

Sekiranya indeks pasaran FBM KLCI secara keseluruhan jatuh, harga saham syarikat tersenarai ABC akan turut jatuh. Begitu juga sekiranya indeks pasaran FBM KLCI secara kese­luruhan naik, harga saham syarikat tersenarai ABC juga akan naik. Justeru, keadaan ini telah membantu pelabur tersebut membuat keputusan de­ngan mudah.