Malah, wakil atau ejen syarikat terbabit juga rancak menjalankan kempen rumah ke rumah dengan mengedarkan kad perniagaan dan pelbagai risalah. Misalnya, pinjam RM1,000 dapat RM,1000, pinjam RM10,000 dapat RM10,000. Kaedah lain yang digunakan adalah berbentuk penceritaan di mana seorang lelaki yang dalam kesempitan akhirnya berjaya keluar daripada masalahnya dan kini hidup senang setelah ditemukan dengan sebuah syarikat pemberi pinjaman.

Ketika ini, dilaporkan ramai individu terutama mereka yang diberhentikan kerja, menceburkan diri dalam aktiviti perniagaan untuk kelangsungan hidup. Berdasarkan pemerhatian penulis, berniaga menjual makanan menjadi pilihan golongan ini kerana ia tidak memerlukan modal yang terlalu besar. Justeru itu, semakin banyak gerai jualan muncul di tepi-tepi jalan. Tapak-tapak pasar pagi dan pasar malam juga semakin penuh dengan peniaga.

Bagi mereka yang tidak mem­­­­­punyai modal tetapi mahu juga terlibat dalam perniagaan, pinjaman peri­badi merupakan pilihan. Bagaimanapun, tidak mudah untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan dalam keadaan sekarang. Pelbagai syarat dan prosedur perlu diikuti, meskipun jumlah yang dipohon bukanlah besar sangat.

Kekangan itu dikatakan mengakibatkan ramai yang beralih kepada syarikat pemberi pinjaman (bukan institusi kewangan). Ini kerana, syarikat terbabit dikatakan mengenakan syarat yang cukup longgar.

Teringat penulis kepada seorang wanita yang mengusahakan restoran di sebuah daerah di Pantai Timur yang mengakui terpaksa meminjam daripada syarikat seumpama ini apabila terlalu sukar untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM5,000 daripada institusi kewangan bagi menampung kos operasi harian restorannya.

Bukan setakat RM5,000 wanita terbabit turut me­ningkatkan pinjaman kepada RM10,000 setelah hutang pertamanya berjaya dilangsaikan dalam tempoh ditetapkan oleh syarikat terbabit. Jelasnya, meskipun jumlah yang dite­rima kurang daripada yang di­pohon, setidak-tidaknya dia mempunyai wang untuk digunakan bagi menampung kos operasi harian restorannya.

Berdasarkan perbualan dengan wanita terbabit, ba­nyak rakannya turut berbuat demikian dan mereka bukanlah hendak sangat meminjam daripada syarikat pemberi pinjaman tersebut kerana sedar risiko yang mungkin dihadapi. Namun, mereka tidak ada pilihan kerana tidak ada mana-mana pihak yang sedia memberikan pinjaman mudah dalam kadar segera. Hendak pinjam adik-beradik, masing-masing pun bergelut dengan kos sara hidup yang semakin melambung.

Kerajaan sebenarnya menyediakan banyak kemudahan dan bantuan modal untuk mereka yang ingin berniaga. Antara agensi yang ada adalah Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan banyak lagi. Namun, permohonan didakwa sering mengambil masa dan bagi mereka yang tidak ‘sabar’, syarikat pemberi pinjaman menjadi pilihan. Ini menjadikan mereka terdedah kepada pelbagai risiko termasuk terjebak dengan kegiatan Ah Long.

Persoalannya, sejauh ma­nakah kegiatan syarikat-syarikat pemberi pinjaman ini dipantau oleh pihak berwajib? Adakah syarikat-syarikat se­perti ini bebas menjalankan promosi tanpa sebarang kawalan? Kita tidak mahu insiden buruk menimpa peminjam akibat dibelenggu oleh hutang-piutang.

Bagi institusi kewangan dan agensi kerajaan terlibat pula, mungkin ada kaedah tertentu yang boleh diambil untuk membantu golongan yang memerlukan pembiayaan ini. Atau, kerajaan mungkin mempunyai pendekatan lebih proaktif yang bakal diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018 akan datang bagi membantu mereka dan rakyat seluruhnya yang semakin dihimpit kenaikan kos sara hidup. Sama-sama kita nantikan.