PROFIL kewangan adalah butiran syarikat yang akan mendorong bank ‘jatuh cinta’ terhadap anda! Dalam erti kata lain, profil kewangan syarikat adalah amat penting.
Malangnya, masyarakat kurang nampak bahawa membina profil kewangan dapat mencetak duit melalui prinsip OPM (Other People’s Money). Orang yang bijak dalam kewangan menggunakan duit orang lain untuk menggandakan kewangan dan pelaburan mereka.
Ini berkait rapat dengan ‘memprogramkan minda’ yang sangat penting dalam apa jua keadaan kehidupan. Hidup kita adalah apa yang kita programkan. Jadi bila anda programkan diri menjadi pelabur, maka anda akan jadi pelabur!
Dalam kewangan dan pelaburan, datuk nenek kita berpesan supaya ‘simpan duit’ tetapi ilmu itu lupa untuk ditambah baik dengan menimba ilmu pelaburan. Akhirnya, tanpa ilmu pelaburan, duit terbuang begitu sahaja menjadi ‘kudis-kudis’ kewangan yang lama kelamaan menjadi kanser.
Ditambah pula apabila terjebak dengan skim-skim penipuan yang mengambil peluang ke atas emosi dan kelemahan kita yang cetek dalam ilmu kewangan dan pelaburan.
Kisah-kisah ngeri tentang masalah kewangan timbul berpunca daripada:
- Boros berbelanja
- Tiada ilmu kewangan secara menyeluruh.
- Tiada rasa untuk memiliki hartanah sendiri
- Masyarakat yang bekerja hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.
- Tiada matlamat kewangan jangka masa pendek, sederhana & panjang.
- Masyarakat yang berniaga tidak bayar cukai.
- Masyarakat yang berniaga tidak urus pendapatan, perbelanjaan syarikat dengan betul.
- Penggunaan berleluasa duit syarikat untuk kegunaan peribadi.
Banyak lagi masalah kewangan yang dilakukan oleh ramai orang yang kesannya membawa kepada kesukaran untuk melibatkan diri dalam dunia pelaburan.
Masalah-masalah ini dapat dibendung jika masyarakat mengambil tahu tentang ilmu pengurusan kewangan dan pelaburan yang betul.
Di sini, saya kongsi empat daripada ‘tujuh peraturan’ bagaimana anda boleh berjaya dalam membina profil kewangan untuk melibatkan diri dalam pelaburan.
1. Kawal Emosi
Kawal emosi dalam kewangan dan pelaburan sangat penting untuk peraturan membina profil kewangan. Tidak berupaya mengawal emosi adalah punca terbesar ramai yang gagal dalam kewangan.
2. Ada Impian Besar
Kejayaan dalam kewangan lebih mudah dicapai jika kita mempunyai impian besar untuk diri, keluarga dan masyarakat. Berusaha untuk mencapai impian tersebut adalah pembakar semangat untuk menjaga susun atur kewangan supaya impian tersebut akan menjadi kenyataan kerana kebanyakan impian akan melibatkan kewangan.
3. Ada Matlamat Kewangan
Ramai yang ada impian hidup tetapi ramai yang terlupa meletakkan impian kewangan. Agak sukar untuk capai impian hidup kalau kita tidak meletakkan impian kewangan. Sebaiknya, impian kewangan boleh dibahagikan kepada impian jangka pendek, sederhana dan panjang.
Kita kena cukup jelas berapa jumlah setiap kategori impian tersebut. Menyediakan impian kewangan juga adalah peraturan yang dapat membantu untuk pembakar semangat disiplin menyimpan duit untuk mencapai impian kewangan.
4. Disiplin Menyimpan
Gula pemula untuk anda bertindak dalam pengurusan profil kewangan adalah dengan mengasingkan 20 peratus hingga 30 peratus daripada pendapatan aktif anda untuk perancangan pendapatan pasif masa akan datang.
Jika tabiat disiplin menyimpan ini dapat anda buat dengan konsisten ini petanda baik yang anda akan dapat capai matlamat kewangan anda. Dengan pengalaman 16 tahun jatuh bangun dalam membina profil kewangan, saya ingin membantu masyarakat untuk membina profil kewangan individu dan syarikat yang mantap untuk menjadi pelabur hartanah tegar.
Sepanjang 16 tahun banyak kesilapan kewangan dan pelaburan yang saya sudah lakukan, jadi dengan cara berkongsi ilmu dan pengalaman ini dapat membantu masyarakat untuk mengelakkan jerat-jerat kewangan dan pelaburan.
Antara program-program yang saya terlibat adalah Mega Pejuang Hartanah (MPH), Seminar Pelaburan Mega, Seminar Rumah Pertama (SRP), Program Penstrukturan semula Kewangan (FRP), Analisis Kewangan Power Hartanah (AKPH) dan Analisis Kewangan Pemilik Perniagaan (AKBO).
Dengan cara ini juga dapat membantu masyarakat untuk celik kewangan dan celik minda untuk berani melibatkan diri dalam pelaburan hartanah dan juga pelaburan-pelaburan lain seperti saham, unit amanah, emas, pembiayaan ASB, Tabung Haji dan sebagainya.
IEZA YUSOF adalah CEO dan Pengasas Ieza Yusof Consultancy Sdn. Bhd.
Komitmen sediakan rumah mampu milik