Dan peserta yang hadir pula, jarang diberikan khidmat soko­ngan atau bimbingan untuk satu tempoh masa. Lebih tepat dikatakan mengajar saham secara touch and go lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu kelas yang mempunyai jumlah peserta yang terlalu ramai.

Ada kelas atau seminar yang menyediakan kaunter membuka akaun urusniaga saham sebagai kemudahan kepada peserta yang hadir. Malangnya, terdapat ramai peserta yang terus membeli saham di pasaran terbuka apabila akaun urusniaga telah diaktifkan.

Golongan ini tidak meng­ikuti kelas-kelas saham yang ditawarkan sebagai pembelajaran lanjutan. Maka, apabila pasaran saham mengalami kejatuhan se­per­ti yang terjadi pada awal bulan Februari lepas, ramai te­lah mengalami kerugian walaupun pada asalnya mereka telah me­raih keuntungan pada awal bulan Januari.

Maka, Cikgu Saham ingin memberi sedikit garis panduan kepada yang tidak melanjutkan pembelajaran saham secara le­bih mendalam.

lSebaik-baiknya hadir kelas atau seminar saham yang murah dahulu atau kelas percuma kerana tidak semua orang yang belajar saham memahami apa yang diajar. Sebaiknya, belajar dahulu daripada remisier atau dealer di syarikat broker saham walaupun secara asas. Juga, seminar-seminar yang dikendalikan oleh syarikat broker saham, Bursa Malaysia dan SIDC.

lSetiap pelabur dan pedagang saham wajib belajar atau memperlengkapkan diri dengan ilmu analisis teknikal dan fundamental walaupun sekadar asas sahaja.

lSebagai pelabur baharu, jangan terus beli saham sejurus akaun urusniaga saham telah diaktifkan. Perhatikan pergerakan turun naik saham terlebih dahulu untuk tempoh satu bulan. Maksimum ialah tiga bulan sebelum membuat pembelian.

lPerlu mempunyai masa melihat pergerakan saham. Ini merupakan satu strategi untuk menjadikan seseorang itu mahir dalam meramal pergerakan pasaran.

lRajin buat analisis atau kajian saham sebagai persediaan sebelum membeli dan menjual saham.

lSebagai permulaan, beli saham bersamaan modal yang ada. Jangan beli melebihi modal. Beli saham yang berharga sederhana dahulu. Elakkan daripada membeli saham yang terlalu murah atau yang mahal.

lJika anda merupakan pemain kontra, anda perlu tahu untuk mengambil untung apabila saham yang dibeli itu naik. Juga, anda perlu tahu untuk cut loss jika harga jatuh.

lMelakukan transaksi kontra atau harian perlu mengambil tindakan segera untuk jual walaupun harga saham yang dibeli itu naik sedikit. Selepas membeli, terus masukkan pesanan jual dengan segera tanpa perlu memantau turun naik harga lebih-lebih lagi jika anda baharu melibatkan diri dalam saham.

Perkara yang selalu menyebabkan seseorang itu me­ngalami kerugian ialah apabila harga saham naik, mereka tidak mengambil untung, teragak-teragak, lambat atau terlupa untuk memasukkan pesanan jual.

lMempunyai kecekapan da­lam memasukkan pesanan jual lebih-lebih lagi semasa pasaran lemah. Walaupun perkara ini mungkin dipandang sebagai suatu perkara yang dianggap tidak penting bagi sesetengah orang, kelewatan dalam memasukkan pesanan jual juga kadang-kala merupakan salah satu faktor penyumbang yang menyebabkan kerugian.

Ini kerana pesanan yang dimasukkan itu tidak dapat dipadankan segera kerana terdapat orang lain yang lebih awal daripada kita yang memasukkan pesanan jual.

lJangan masuk pasaran selepas kita jual saham. Tunggu keesokan hari. Jika saham yang dibeli tidak naik, jangan beli yang lain.

lJika kita telah mendapat untung yang dirasai berbaloi, berehat dahulu daripada meneruskan aktiviti saham. Tempoh berehat boleh jadi tiga hari.

lJika kita dapat menjana keuntungan bersamaan atau me­le­bihi daripada gaji atau pendapatan bulanan kita, kita harus berhenti seketika walaupun kita menjana jumlah tersebut kurang dari sebulan. Masuk pasaran semula pada bulan yang baharu.

lJika kita telah meraih keuntungan, jangan masukkan semula untung tersebut ke dalam modal. Gunakan duit tersebut atau simpan di tempat yang lain.

Seminar pendidikan saham akan diadakan di negeri Perak dan permohonan boleh diajukan ke [email protected], atau di talian 05-2495386.