Pengarah Urusan Panasonic, Toyokatsu Okamoto berkata, pihaknya juga akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi menjayakan revolusi industri 4.0 (IR4.0) untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Pembukaan kemudahan baharu ini adalah langkah penting yang dilakukan Panasonic untuk membina era baharu bagi kelengkapan elektronik pengguna di Malaysia dan juga di negara-negara Asia yang lain,” katanya dalam majlis perasmian kemudahan baharu Panasonic di Shah Alam, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming; Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Peralatan Panasonic Corporation, Tetsuro Homma; Pengarah Urusan Panasonic Asia Pacific Pte. Ltd., Takehiko Ryu dan Pengerusi Panasonic, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Panasonic hari ini merasmikan tiga kemudahan baharunya iaitu bangunan pentadbiran baharu Panasonic; Pusat R&D bagi Panasonic Appliances R&D Centre Asia Pacific Sdn. Bhd., serta hab logistik dan gudang bagi Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn. Bhd..

Tambah Okamoto, pembukaan kemudahan baharu Panasonic tersebut membuka jalan bagi peluang-peluang R&D, inovasi generasi akan datang, pembangunan perkakas rumah lestari dan produk-produk canggih memberikan lebih nilai dan meningkatkan kualiti hidup pelanggan.

Sementara itu, Kian Ming berkata, pihak kementerian juga akan bekerjasama erat de­ngan mereka untuk menjayakan industri 4.0 sekali gus menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain.

“Ini adalah satu cabaran yang besar bukan saja untuk Panasonic tetapi untuk pengilang-pengilang lain.

“Saya rasa ini adalah sesuatu yang menunjukkan mereka juga sudi untuk menambah baik proses pembuatan mereka untuk menjadi sebuah syarikat yang boleh menjadi contoh kepada syarikat lain sekali gus meningkatkan kualiti eksport barangan Malaysia,” katanya.