Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn. Bhd. (Praise), Khairani Mohamed berkata, pakej kerja akan terdiri daripada bidang seperti kerja-kerja permukaan, mekanikal dan kejuruteraan, konkrit, seni bina luaran dan kelengkapan dalaman.

“Kami ingin menggalakkan syarikat-syarikat bumiputera untuk memanfaatkan peluang terakhir ini untuk bekerja bersama syarikat multinasional (MNC) yang mapan dalam industri untuk membangunkan landasan LRT 3 di Lembah Klang seterusnya meningkatkan ke­pakaran tempatan.

“Dianggarkan seba­nyak 45 peratus kontrak telah diperuntukkan kepada syarikat-syarikat bumiputera sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan mereka bersama-sama menyumbang kepakaran dalam LRT 3, iaitu sebuah projek prasarana utama negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Prasarana menjemput semua kontraktor bumiputera yang berkelayakan untuk menyertai sesi taklimat pra-kelayakan mengenai pakej LRT 3 berkenaan pada 7 Disember 2017 di Menara UOA Bangsar di sini.

Khairani berkata, peluang penyertaan itu diadakan oleh Prasarana melalui kerjasama dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU), Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Kerjasama ini bertujuan memberi peluang kepada kontraktor bumiputera untuk mengembang dan meningkatkan kapasiti mereka dalam projek infrastruktur berskala besar,” ujar beliau.

Landasan LRT 3 sepanjang 37 kilometer dengan jajaran melintasi 26 buah stesen akan menghubungkan seramai dua juta penduduk di antara Bandar Utama dan Johan Setia, Klang menjelang 2020.

Penggreddan G2 hingga G4 merujuk kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dibenar untuk mendapatkan tender projek bernilai tidak melebihi RM500,000 (G2), tidak melebihi RM1,000,000 (G3) dan tidak melebihi RM3,000,000 (G4).