Syarikat tersebut menerusi anak syarikatnya, Norman Process Oils Malaysia Plant Sdn. Bhd. membangunkan loji pembuatan bahan berkenaan dengan keluasan 2,023 hektar yang pertama dan pelaburan terbesar Orgkhim Biochemical di luar Rusia.

Ketua Pegawai Eksekutif Orgkhim Biochemical, Nikolay Khodov berkata, loji yang bakal menghasilkan bahan minyak berasaskan petroleum untuk kegunaan tayar, getah sintetik dan sebatian getah itu dijangka memulakan operasi pada pertengahan tahun depan.

Menurutnya, pada masa ini syarikat itu mampu menghasilkan kira-kira 125,000 tan bahan berkenaan setahun di Rusia dan menerusi loji baharu di Tanjung Langsat, mereka menyasarkan sebanyak 70,000 tan setahun.

“Loji di Malaysia akan meme­nuhi permintaan pasaran rantau Asia Pasifik dengan memberi fokus terhadap pasaran di China selain Singapura” katanya pada majlis pecah tanah Norman Process Oils Malaysia Plants Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Ja­watankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pemba­ngunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Sementara itu Azman berkata, pelaburan baharu tersebut bukan sahaja menunjukkan keyakinan pelabur terhadap negeri ini, malah pada masa sama merebut peluang dalam industri kimia di negara ini yang semakin berkembang.

Menurutnya, dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), industri kimia dikenal pasti sebagai antara sektor yang menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan selain elektronik, mesin dan jentera, aeroangkasa dan peralatan perubatan.

Beliau berkata, hingga September 2017, sebanyak 2,073 projek pembuatan dalam industri kimia diluluskan dengan jumlah pelaburan bernilai RM96.5 bi­lion dan daripada jumlah itu, 59.5 peratus (RM57.4 bilion) merupakan pelaburan dari luar negara, manakala 40.5 peratus (RM39.1 bilion) dari dalam negara,” kata­nya sambil memberitahu pelaburan itu mewujudkan sebanyak 97,000 peluang pekerjaan.

“Bagi pelabur dari Rusia pula, hingga kini sebanyak 13 projek pembuatan dengan nilai RM138.80 juta telah diluluskan dengan 600 peluang pekerjaan diwujudkan,” katanya.