Ketika ini, kadar OPR adalah tiga peratus dan sebelum ini banyak penganalisis menjangkakan ia akan naik 25 mata mengambil kira kedudukan ekonomi global dan negara yang terus mengukuh. Pengukuhan ekonomi negara turut membantu kedudukan ringgit dalam pasaran mata wang global khususnya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ringgit pada pagi semalam terus kukuh apabila mencatatkan 3.9180/9210 berbanding dolar daripada 3.9250/9280 pada penutupan kelmarin.

Kali terakhir BNM menaikkan kadar OPR 25 mata asas kepada 3.25 peratus adalah pada 10 Julai 2014.

Kenaikan tersebut mengambil kira kedudukan ekonomi global dan dalam negara kembali pulih selepas mengalami penurunan ketika itu.

Bagaimanapun, kadar tersebut tidak bertahan lama apabila pada 13 Julai 2016, bank pusat menurunkan semula OPR sebanyak 25 mata asas disebabkan ekonomi global yang mencatatkan kadar pertumbuhan lebih sederhana dan turut memberi kesan terhadap prospek pertumbuhan Malaysia.

Berdasarkan laman web BNM, kadar tertinggi OPR pernah direkodkan bagi tempoh 28 Mei 2007 hingga sekarang ialah sebanyak 3.5 peratus dan terendah adalah dua peratus.

Ramalan pelbagai pihak pertumbuhan sederhana ekonomi global turut memberi kesan kepada pertumbuhan Malaysia bagaimanapun meleset apabila ekonomi negara pada tahun lalu merekodkan pertumbuhan di luar jangkaan banyak pihak termasuk Bank Dunia sendiri. Malah, Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar 5.2 peratus tahun ini.

Adalah jelas bahawa, asas ekonomi Malaysia yang kukuh telah membantu pengukuhan nilai ringgit dalam pasaran mata wang, selain dibantu peningkatan harga minyak global dengan kontrak hadapan minyak Brent ketika ini ialah AS$69.84 (RM273.963) manakala WTI AS$64.50 (RM252.975) setong.

Faktor-faktor tersebut menjadi asas kepada penganalisis ekonomi bahawa waktu ini merupakan saat paling sesuai untuk BNM menaikkan kembali kadar OPR.

Pun begitu, memetik artikel tulisan seorang Felo Penyelidikan Kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia pada 2015, peningkatan OPR jika dilaksanakan tentunya akan memberi kesan rentetan kepada kadar faedah simpanan dan juga kos pinjaman, khususnya kepada isi rumah dan firma-firma perusahaan.

Ini kerana, OPR menurut satu laporan, merupakan satu kadar faedah semalaman yang ditetapkan oleh BNM, yang digunakan untuk arah dasar kewangan. Ia adalah sasaran kadar harian operasi kecairan BNM. OPR memainkan dua peranan iaitu:

  • Sebagai alat isyarat untuk mempamerkan teras dasar kewangan
  • Sebagai kadar sasaran operasi mudah tunai harian Bank Pusat.

Ia juga akan bertindak sebagai kadar rujukan utama dalam penentuan kadar faedah pasaran yang lain.

Justeru, sebarang kenaikan tentunya memberi kesan rantaian kepada sistem kewangan dan ekonomi dalam negara. Sementelah, semua pihak maklum, rakyat ketika ini berdepan dengan peningkatan kos sara hidup seiring dengan kenaikan harga runcit petrol di pasaran.

Harapan rakyat untuk menikmati kos hidup yang lebih saksama, hasil kenaikan gaji dan tahunan ternyata tidak kesampaian. Maka tidak hairanlah pelbagai cerita keluh-kesah akibat kenaikan kos sara hidup berlegar di laman-laman sosial dan warung-warung.

Apa tidaknya, saranan supaya mereka menambah pendapatan dengan melakukan pelbagai pekerjaan telah dibuat, namun hasil yang diperoleh ternyata masih tidak mampu untuk meningkatkan taraf hidup dek peningkatan kos yang terus berlaku. Ini ditambah pula dengan bebanan pelbagai hutang seperti hutang rumah dan pinjaman peribadi.

Mengikut laporan, hutang isi rumah negara masih lagi tinggi iaitu 84.6 peratus daripada KDNK tahun lalu meskipun susut berbanding 88.4 peratus pada 2016, kesan peningkatan ekonomi. Lantaran itu, sebarang kenaikan OPR jika berlaku dikhuatiri menambah lagi tekanan kepada rakyat pada waktu ini.

Mungkin kenyataan Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank, Manokaran Mottain kepada Utusan Malaysia baru-baru ini bahawa, “Ini bukan masa yang sesuai untuk sebarang kenaikan OPR” ada kebenarannya.

Apapun, kita yakin BNM pasti mempunyai formula terbaik untuk memastikan ekonomi negara terus kukuh, mampan dan berdaya saing demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.