Ketua Eksekutif Nissan, Hiroto Saikawa berkata, Leaf serba baharu ini yang akan mula dijual esok di Jepun dan awal tahun hadapan di pasaran lain, mempunyai jarak perjalanan sejauh 241 kilometer (km) sekali cas berdasarkan anggaran pengatur alam sekitar Amerika Syarikat (AS).

Katanya, perkara berkenaan merupakan peningkatan sebanyak 69 km berbanding versi Leaf sebelum ini yang hanya mampu berjalan sejauh 172 km disebabkan penggunaan bateri lebih besar iaitu 40 kilowatt per jam (kWh).

“Kami menyasarkan untuk menjual sebanyak 90,000 model Leaf terbaharu ini setiap tahun iaitu peningkatan dua ke tiga kali ganda berbanding versi lama yang berjaya mencapai 47,000 buah tahun lalu.

“Sekiranya model ini berjaya, Leaf akan menjadi sebahagian daripada produk utama dalam portfolio Nissan dengan EV tidak lagi menjadi produk untuk pasaran tertentu sahaja,” katanya semasa pelancaran Leaf terbaharu di sini baru-baru ini.

Leaf terbaharu ini akan dijual di Jepun bermula pada harga 3.15 juta yen (RM123,145) dengan Nissan juga sedang merancang untuk mengeluarkan model Leaf dengan jarak lebih jauh menggunakan bateri bersaiz 60 kWh.

Pelancaran Leaf terbaharu tersebut hadir selepas pengeluar kenderaan elektrik mewah Tesla melancarkan kenderaan EV Model 3 berharga AS$35,000 (RM148,417.50) yang boleh men­cecah jarak sejauh 354 km.

Model EV utama Nissan tersebut telah dinaik taraf, mempunyai wajah baharu yang lebih sporty dengan model versi Jepun akan dilengkapi fungsi automatik canggih termasuk pemanduan lebuh raya satu laluan dan letak kereta automatik. – REUTERS

Nissan merupakan antara pengeluar kenderaan terawal yang memasarkan EV pada tahun 2010 melalui model Leaf generasi pertama yang juga kini menjadi kereta bateri paling laris di dunia.

Sehingga kini, Nissan telah menjual 280,000 buah Leaf manakala sebuah lagi model iaitu Zoe yang dibangunkan bersama Renault SA telah terjual sebanyak 80,000 buah. – REUTERS