Ketua Pembangunan Korporat dan Inovasi Malayan Banking Bhd. (Maybank), Amran Hassan berkata, Next Bank KL merupakan langkah yang tepat untuk diperkenalkan apabila industri perbankan kini berkembang pesat dan melalui pertumbuhan yang kompleks.

Menurut beliau, sebagai badan bebas, ia merupakan komuniti yang dapat mengubah landskap perkhidmatan kewangan melalui inovasi dan keusahawanan.

Katanya, usaha Next Bank KL untuk mewujudkan komuniti kewangan celik teknologi adalah idea yang memberangsangkan kerana ia turut bekerjasama dengan pemain industri perbankan, pelabur dan pembuat dasar di negara ini.

“Next Bank KL juga dijangka akan menjadi medium yang praktikal untuk mereka yang berlegar dalam industri perbankan atau bukan perbankan untuk berkongsi pandangan masing-masing,” katanya semasa berucap dalam pelancaran Next Bank KL di sini malam ini.

Yang turut hadir, pengasas bersama Next Bank KL, Jason Lee, Lee Yen Ming dan Wilson Beh serta Ketua Pegawai Eksekutif Saving Plus, Siew Yuen Tuck.

Sementara itu, Yuen Tuck berkata, usaha yang giat dijalankan bagi membangunkan sektor perkhidmatan kewangan itu adalah dari segi pelaksanaan khidmat pelanggan terutama dalam teknologi digital.

“Dengan adanya penggunaan teknologi dalam sektor perbankan dan kewangan dalam pasaran, ia memberikan kesedaran bagi menghubungkan Next Bank KL kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.