Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia), Alois Hofbauer berkata, keyakinan pengguna di Malaysia secara keseluruhannya masih lemah tetapi yakin ia akan kembali pulih tidak lama lagi.

Katanya, di sebalik berdepan dengan tahun 2016 yang mencabar, Nestle (Malaysia) tetap mencatat prestasi yang kukuh pada suku pertama berakhir 31 Mac 2017 dengan perolehan me­ningkat 4.4 peratus kepada RM1.4 bilion berbanding RM1.3 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

“Menaikkan harga produk adalah pilihan terakhir yang akan dilaksanakan sekiranya kami tidak mampu menangani cabaran semasa, apatah lagi terdapat sesetengah produk, bahan mentahnya diimport dari luar negara.

“Tetapi buat masa ini, kami mampu mengimbangi kos tersebut di sebalik peningkatan harga komoditi dan juga penyusutan mata wang,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Nestle (Malaysia), Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Kewangan Nestle (Malaysia), Martin Peter Krugel.

Nestle (Malaysia) mencatat pres­tasi memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Di­sember 2016 dengan perolehan meningkat 4.7 peratus kepada RM5.1 bilion manakala untung selepas cukai juga meningkat 7.9 peratus kepada RM637 juta berbanding tahun sebelumnya.

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2017, kumpulan merekodkan hasil sumbangan kukuh daripada jualan tempatan dan eksport de­ngan masing-masing mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 4.7 peratus dan 3.6 peratus.

Menurut Hofbauer, bagi tahun ini, Nestle (Malaysia) akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM200 juta berbanding RM123 juta bagi tahun lalu untuk menaik taraf fasilitinya secara keseluruhan merentasi semua kategori produk termasuk dari segi inovasi.

Katanya, antara inovasi yang diperkenalkan sepanjang 2016 termasuklah Mesin Kopi Nescafe Gold Blend Barista, Mi Goreng Perisa Kari Maggi OatMee, Susu Nestle Omega Plus dengan Oat, Nestle Bliss Go dan konfeksi sejuk beku Milo manakala bagi suku pertama tahun ini pula, ia menyaksikan beberapa inovasi iaitu Mat Kool Panda, Nescafe Gold Creamy dan Dark Latte serta Maggi Hot Mealz.

Beliau memberitahu, bagi perbelanjaan pengiklanan (adex) pula, kumpulan akan memperuntukkan jumlah yang hampir sama seperti tahun lalu iaitu kira-kira RM500 juta terutama dengan pengenalan antara 15 hingga 25 produk baharu tahun ini.