Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Nazir terima Anugerah Pemimpin 
Perniagaan Asia di London

Nazir Razak ketika menyampaikan ucapan selepas menerima Anugerah
Nazir Razak ketika menyampaikan ucapan selepas menerima Anugerah Pemimpin Perniagaan Asia daripada Asia House di London, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak menerima Anugerah Pemimpin Perniagaan Asia yang berprestij, daripada Asia House pada majlis makan malam gala pusat itu di London, baru-baru ini.

Anugerah berkenaan merupakan satu pengiktirafan terhadap bukti kelayakan perniagaan beliau dan kepimpinan nilai-nilainya.

Pengerusi Asia House, Sir John Boyd berkata, pihaknya berbesar hati untuk memberi penghargaan atas kejayaan dan usaha yang dilakukan oleh Nazir.

“Beliau menekankan manfaat kerjasama dan perkongsian di seluruh ASEAN melalui sokongannya terhadap pembelajaran, kerja penyelidikan bebas dan usaha amal, serta dalam strategi perniagaan yang diimpikan beliau, menunjukkan bagaimana usaha di seluruh ASEAN yang berjaya secara komersial boleh mengeratkan penduduk untuk kebaikan bersama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anugerah Pemimpin Perniagaan Asia oleh Asia House mengiktiraf sumbangan individu atas sumbangan keseluruhannya ke arah kejayaan ekonomi, kecemerlangan profesional, kepimpinan nilai-nilai dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Sepanjang 26 tahun Nazir di CIMB Group, beliau mengemudi institusi kewangan itu dari sebuah bank perdagangan kecil sehingga menjadi penjana perbankan menyeluruh ASEAN pada hari ini.

Beliau meletakkan asas untuk CIMB Group berkembang menjadi kumpulan perkhidmatan kewangan kedua terbesar Malaysia, bank pelaburan berpangkalan di Asia Pasifik terbesar serta bank Islam global yang terkemuka.

Sementara itu Nazir berkata: “Anugerah ini mengiktiraf pencapaian rakan sekerja saya di CIMB, yang sentiasa bersama-sama saya sejak perjalanan kami sebagai bank perdagangan kecil dengan kira-kira 70 kakitangan di Kuala Lumpur pada akhir 1980-an, sehingga kami hari ini, sebagai penjana kewangan ASEAN dengan 40,000 kakitangan di 17 negara.

“Kerjaya saya juga adalah untuk mengeratkan perniagaan ASEAN dalam menyokong penyepaduan ekonomi, jadi anugerah ini turut dituju kepada pasukan di Institut Kajian ASEAN CIMB, dan rakan sekerja di Kelab Perniagaan ASEAN.”

Makan malam gala, berlangsung di Banqueting House di Whitehall, London, itu dihadiri lebih 250 tokoh perniagaan dan politik dari Asia dan United Kingdom (UK), termasuk delegasi daripada Kelab Perniagaan ASEAN.

Asia House, sebuah organisasi bukan keuntungan, merupakan pusat pakar Asia dengan matlamat mengeratkan hubungan antara UK dan Asia.

Pusat itu berhubung dengan perniagaan yang beroperasi di Asia dan dari Asia, daripada syarikat besar multinasional hingga perusahaan kecil dan sederhana, pembuat dasar, pegawai, pembuat keputusan dan orang berpengaruh, akademik, penulis dan orang seni. – BERNAMA

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain