Naza Group pada Februari lalu memeterai perjanjian penjualan saham dan usahasama dengan Groupe PSA dari Perancis dalam usaha menjadi hab penghasilan kereta Eropah di rantau ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, perkongsian itu akan menjadikan kilang Naza Automative Manufacturing (NAM) di Gurun, Kedah sebagai hab pengeluaran automotif bagi Groupe PSA untuk mengembangkan operasinya di pasaran ASEAN.

Sebagai hab automotif serantau katanya, ia akan menyumbang kepada pembangunan ne­­ge­ri dengan peningkatan peluang pekerjaan baharu, pemindahan teknologi dalam masa sama memberi peluang perniagaan kepada vendor tempatan.

“Kami akan terus memper­luaskan perniagaan Naza ke seluruh dunia dengan memanfaatkan dasar-dasar kerajaan yang strategik dalam usaha membantu para usahawan mencapai kejayaan.

“Kumpulan Naza bercita-cita untuk menjadi syarikat yang progresif menyokong pembangunan dan pertumbuhan mampan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian di antara kedua-dua konglomerat itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Februari lalu.

Groupe PSA ialah pengeluar kereta kedua terbesar di Eropah yang mempunyai operasi di 160 negara di seluruh dunia, dengan lebih 170,000 kakitangan dan menjual lebih 3.5 juta kenderaan tahun lepas.

Kilang Naza Group di Gurun, Kedah itu dengan keluasan 56 hektar memasang kereta Peugeot dan Kia bagi pasaran Malaysia serta eksport dan memiliki kapasiti mengeluarkan kira-kira 50,000 kenderaan setahun.

SM Nasarudin berkata, kilang itu yang terdiri daripada kilang pemasangan, pejabat dua tingkat, trek ujian, lot bagi vendor dan bekalan, penginapan kakitangan serta kemudahan rekreasi, ditubuhkan pada Mei 2004.

“Naza Group akan bertanggungjawab sepenuhnya bagi pengedaran kereta Peugeot, Citroen dan DS di pasaran tempatan manakala Groupe PSA akan meneroka prospek pengedaran di pasaran ASEAN lain bagi memanfaatkan potensi 680 juta pe­langgan di rantau ini,” katanya.

Naza Group ditubuhkan pada 1975 oleh Allahyarham Tan Sri S.M. Nasimuddin S.M. Amin dengan sokongan daripada dasar-dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) berjaya mengembangkan syarikat menjadi konglomerat perniagaan.

Pada 2011, Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) diperkenal untuk mentransformasikan perniagaan milik bumiputera daripada berope­rasi secara kecil-kecilan kepada sebuah syarikat yang mempu­nyai kapasiti dan kecekapan.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Najib berkata, pakatan strategik tersebut akan menyaksikan pengenalan model baharu dengan vendor tempatan dapat meningkatkan kemahiran mereka yang akan membawa manfaat kepada industri tempatan serta masyarakat.

Jelas Perdana Menteri, Malaysia juga akan melihat aliran masuk pelaburan langsung a­sing (FDI), peningkatan pembangunan vendor dan pemindahan teknologi dipertingkatkan dan kepakaran kejuruteraan untuk membangunkan industri automotif dan modal insan.

“NAM akan menjadi hab eksport bagi negara-negara serantau ini dan juga di luar daripadanya. NAM diunjur mengeluarkan sebanyak 18,000 unit kereta pada 2019 dan 21,000 unit lagi pada 2020 de­ngan unjuran hasil masing-ma­sing sebanyak RM724 juta dan RM967 juta.

“Akan ada rangsangan ekonomi di sini kerana perkongsian ini dijangka melahirkan 70 vendor tempatan tambahan dalam tempoh lima tahun akan datang dan mewujudkan tambahan 1,200 peluang pekerjaan di Kedah,” katanya.