Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yasser Awan berkata, kendera­an utiliti sukan (SUV) dengan tujuh tempat duduk itu menggabungkan elemen kenderaan moden, prestij, teknologi terkini, pemanduan yang praktikal serta keseronokan semasa memandu.

Jelas beliau, secara keseluruhannya Peugeot 5008 SUV serba baharu kekal kompak dengan 4,641 milimeter (mm) panjang dan 1,844mm lebar dan 11 sentimeter (cm) lebih panjang berbanding generasi terdahulu yang merupakan kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Kenderaan ini menggunakan Platform Kecekapan Modular baharu (EMP2) yang menyeimbangkan berat, kekuatan dan fungsi pada semua tahap. Peugeot 5008 SUV serba baharu mempunyai berat 1,385 kilogram sekali gus meningkatkan kecekapan dan mengurangkan penggunaan bahan bakar.

“Kemasan dalamannya me­nyerlahkan rupa futuristik Peugeot i-Cockpit dengan tempat duduk kulit berserta ISOFIX, stereng kompak, skrin sentuh lapan inci dengan fungsi hiburan dan skrin digital kluster 12.3 inci yang memaparkan segala maklumat berkaitan ken­deraan,” kata­nya dalam ke­nyataan di sini baru-baru ini.

Tambah Yasser, tempat duduk baris kedua serta ketiga boleh dilipat rata menjadikan kapasiti penyimpanan barang sehingga 2,042 liter dan mampu memuatkan muatan panjang sehingga 3.20 meter.

Katanya, Peugeot 5008 SUV serba baharu didatangkan de­ngan enjin THP 1.6 Turbo yang memberi kecekapan bahan bakar sehingga 7.3 liter bagi setiap 100 kilometer.