Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, selepas London beberapa pasaran antarabangsa yang berpotensi telah dikenal pasti antaranya Sydney dan Perth, Australia serta Singapura.

Menurut beliau, kemasukan produk T-Kitchen ke pasaran luar negara dibuat menerusi kerjasama dengan Chicken Cottage Investment Limited yang mempunyai 162 cawangan di seluruh dunia.

“Sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan dan pada masa depan lebih banyak produk keluaran T-Kitchen akan ke pasaran antarabangsa. Buat masa ini beberapa produk masih di peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) antaranya kuih tradisional dan ikan celup tepung.

“Kami mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 5,000 pek sehari dan boleh ditingkatkan sehingga 10,000 pek sehari jika ada keperluan. Setakat ini sebanyak 50,000 pek telah berjaya dijual,” katanya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara T-Kitchen bersama Brahim’s SATS Food Services dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Brahim’s Holdings Berhad, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi dan Naib Presiden DPIM, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi T-Kitchen menyasarkan pendapatan sebanyak RM2.5 juta pada tahun depan melalui peluasan pasaran produk di dalam dan luar negara.

Katanya, daripada jumlah itu unjuran jualan melalui Brahim’s SATS Food Services Sdn. Bhd. dianggarkan sebanyak RM1.3 juta sementara RM1.2 juta lagi disumbangkan oleh DPIM.

“Brahim’s SATS akan membantu dalam memasarkan produk makanan tradisional Terengganu manakala DPIM bertanggungjawab memperluaskan lagi pasaran produk sejuk beku T-Kitchen di semua cawangan dalam dan luar negara.

“Kami juga telah memeterai MoU bersama syarikat Ikhwan Holdings bagi memasarkan produk T-Kit­chen di rangkaian restoran mereka di Eropah dan Australia,” ujarnya.