Samsolbari Jamali
Samsolbari Jamali

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Datuk Samsolbari Jamali (gambar) berkata, ketika ini harga nanas MD2 dijual antara RM1.50 hingga RM2 sekilogram, berbanding jenis lain seperti nanas Morris sekitar 50 sen hingga RM1 sebiji.

“Sehubung­an itu kita menasihati para pekebun supaya mena­nam nanas jenis MD2 ke­rana ia boleh menambah pendapatan mereka, namun pilihan di ta­ngan pekebun. Sekiranya pekebun mengikut nasihat ini, insya-Allah mereka mampu meraih pendapatan lebih tinggi bagi mengimbangi peningkatan kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong bersama penduduk Kampung Sungai Manik Kanan sempena program Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017 di sini hari ini.

Menurut Samsolbari, antara keistimewaan nanas MD2 ialah ia lebih manis dan teksturnya ra­ngup berbanding jenis lain selain berat sekitar 1.3 kilogram hingga 2.5 kilogram sebiji.

“Berbeza dengan nanas biasa yang dimakan dalam jumlah ba­nyak, lidah kita akan berasa lidas tetapi tidak untuk nanas MD2,” katanya.

Tambahnya telah banyak syarikat awam yang tersenarai dalam Bursa Malaysia berminat menceburi tanaman nanas MD2, namun keluaran buah itu masih berkurangan.

“Oleh sebab itu kami sedang mempergiatkan program bagi menambah jumlah peladang nanas terutama dalam kalangan golongan muda,” katanya.

Dalam pada itu, Samsolbari berkata, negeri Perak masih ter­belakang dalam soal industri penanaman nanas berbanding beberapa negeri lain berkemungkinan disebabkan faktor tanah dan minat setempat. – Bernama