Ini sesuatu yang positif. Maklumlah, setelah bertahun-tahun lamanya saya ‘memba­suh’ pemikiran mereka tentang pentingnya blog di laman web korporat, kini usaha saya mula menampakkan hasil. Saya ber­tanya, mengapa sekarang? Me­reka menjawab, sebelum ini pres­tasi syarikat berjalan lancar dan bagus.

Kini, jualan semakin menurun dan tidak nampak tanda-tanda akan naik. Jadi keperluan pemasaran di internet terutamanya untuk dijumpai di laman enjin pencarian amat penting.

Patutlah. Pemasaran bia­sanya akan menjadi penting sekiranya prestasi jualan menjadi hambar yang akhirnya mempengaruhi keuntungan syarikat. Dan apabila kembali pulih, strategi pemasaran akan dilupakan kembali. Ini perkara biasa. Ia sama seperti memberus gigi di waktu malam.

Apabila sakit gigi, barulah terhegeh-hegeh hendak memberus gigi sebelum tidur. Siap berkumur dengan Listerine atau Oral B lagi. Kalau tidak, memang sehari sekali sahaja memberusnya, iaitu di waktu pagi. Hanya yang konsisten memberus gigi, rajin ke klinik gigi untuk pemeriksaan akan mempunyai gigi yang cantik.

Kenapa perlu menulis blog? Pertama, ia mampu menjadikan laman web korporat kita lebih menarik. Kedua, ia mampu menaikkan ranking laman web di laman enjin pencarian.

Ketiga, melalui blog kita boleh mengemas kini laman web dengan kandungan-kan­dungan yang baharu. Ini bakal membuatkan mereka ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang latar belakang syarikat, lalu mereka akan klik di pilihan About Us. Keempat, kita boleh mengumpul pengikut sebagai komuniti kita.

Hanya melalui laman web sahaja kita dapat memastikan setiap apa yang dimuat naik akan dapat dilihat oleh pengikut dengan 100 peratus. Apa yang mereka perlu lakukan untuk menjadi komuniti di sini ialah mereka hanya perlu mendaftar alamat e-mel mereka, mudah. Perkara sebaliknya pula berlaku di media sosial. Di Facebook, Twitter, LinkedIn, dan Instagram misalnya, tidak lebih lima peratus sahaja yang akan dapat melihat apa yang kita muat naik sebagai status. Jika kita mahukan kandungan tersebut dilihat oleh lebih ramai lagi, kita perlu membayar kepada mereka.

Tetapi amat penting untuk kita naikkan jumlah pengikut di media sosial terlebih dahulu sebelum mengikuti kita juga di laman web.

Namun, media sosial korporat agak sukar untuk kelihatan menarik berbanding media sosial individu yang boleh meroyan sana sini, menulis status yang merapu dengan gambar dan video menarik, terus mampu menarik pengikut baharu. Untuk syarikat pula, kita boleh menggunakan taktik di bawah untuk percepatkan lagi proses mendapatkan pengikut.

* Sediakan sedikit pe­la­buran harian untuk boost.

Syarikat biasanya akan menggunakan halaman perniagaan atau Business Page, dan ia mempunyai fungsi pengiklanan di dalamnya. Anda perlu mengeluarkan sedikit pe­la­buran untuk menarik para pengguna untuk datang dan ikuti laman perniagaan anda di media sosial tersebut.

* Pastikan keadaan laman perniagaan ini hampir sama dengan laman web.

Anda perlu pastikan logo di­letakkan di tempat betul, gambar header juga perlu menggunakan gambar yang ada di laman web, slogan anda perlu diletakkan pada tempat yang sepatutnya dan isi ke­semua maklumat yang diminta di ruangan profail dengan lengkap. Ini bakal membantu jenama anda untuk dijumpai dan dikenali segera oleh orang ramai.

* Lebihkan kandungan vi­sual.

Kini algoritma yang wujud di media-media sosial lebih gemarkan kepada rakaman video dan video secara langsung. Namun anda juga boleh memuat naik gambar-gambar yang memiliki resolusi tinggi dan menarik sebagai kandungan.

* Penggunaan perkataan dan ayat yang mampu mencuit emosi.

Video dan gambar sahaja tidak mencukupi untuk menarik perhatian orang ramai. Ia perlu disertakan dengan status-status yang kelakar, sedih, gembira, kecewa dan sebagainya yang mencuit emosi sesiapa yang melihatnya. Jika anda melihat mana-mana status yang tular, kesemuanya mempunyai status hebat yang menggunakan perkataan dan ayat yang tepat untuk video atau gambar tersebut. Elakkan memuat naik kandungan yang negatif.

* Minta bantuan pekerja dan rakan niaga untuk jemput rakan mereka.

Jangan segan silu meminta para pekerja dan rakan niaga anda untuk menjemput kena­lan mereka untuk Like halaman perniagaan anda.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandangan beliau di azleen.com