Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif MyPay, Nick Liew berkata, buat masa ini platform berkenaan masih di peringkat Beta dan menjangkakan ia beroperasi sepenuhnya awal tahun hadapan.

Beliau berkata, MyPay adalah berbeza berbanding portal perkhidmatan digital yang lain kerana ia bakal mengintegrasikan lebih 360 agensi kerajaan di dalam satu platform bagi memudahkan pengguna.

“Pengguna boleh menyemak, mengurus dan membayar bil-bil agensi kerajaan hanya dengan beberapa sentuhan dari telefon bimbit.

“Semua data pengguna serta pembayaran yang dilakukan di platform ini adalah dijamin selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

MyPay dibangunkan sekumpulan anak muda dari latar belakang yang berbeza tetapi dengan visi dan matlamat yang sama iaitu bagi memudahkan masyarakat mengakses kepada sistem digital kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran MyPay, Shairazi Sulastry berkata, idea membangunkan platform berkenaan terhasil selepas berhadapan dengan situasi seperti pengalaman pengguna yang tidak memuaskan apabila melawat laman web agensi kerajaan atau maklumat di laman web agensi biasanya tidak dikemas kini.

“MyPay sebaliknya menyediakan pengguna platform dalam talian yang mudah. Kebanyakan aplikasi berkaitan kerajaan biasanya sedikit rumit dan tidak lengkap,” katanya.

Dalam pada itu Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Teknologi MyPay, Joshua Smith berkata, pasukan MyPay mengambil langkah-langkah untuk memastikan maklumat dan transaksi peribadi pengguna adalah selamat dan terjamin.

“Sistem ini dilindungi menggunakan HTTPS dan ‘dual-layer handshakes’ melalui protokol Secure Socket Layer (SSL) 128 bit. Jadi pengguna tidak perlu risau dengan kebocoran maklumat dan data peribadi mereka,” katanya.

MyPay kini yang masih dalam tempoh percubaan hanya boleh diakses melalui telefon bimbit dan pengguna hanya perlu mendaftar dengan menggunakan nombor kad pengenalan mereka.

“Untuk tempoh percubaan ini dan khusus untuk pembaca Utusan Malaysia, anda boleh menggunakan kod akses awal UTUSAN2018 di www.mypay.com.my untuk mendaftar dan mencuba platform ini.

“Kami amat mengalu-alukan maklum balas daripada pengguna bagi menambah baik mutu perkhidmatan yang ditawarkan sebelum MyPay dilancarkan secara rasmi,” katanya.