TRP yang dipengerusikan oleh Tan Sri Haidar Mohamed Nor memutuskan demikian selepas berpendapat keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mensabitkan kedua-dua agensi itu selaku perayu mengikut Seksyen 10(2)(d)(iii) Akta Persaingan 2010 dengan menyalahgunakan kedudukan utamanya dalam persaingan yang menjejaskan pasaran hiliran adalah tepat.

Tribunal tersebut dalam kenyataan akhbar di sini hari ini menyatakan, setelah mengambil kira keseluruhan bukti, maka tiada alasan untuk mengganggu keputusan suruhanjaya tersebut.

Sehubungan itu, TRP mengarahkan kedua-dua perayu untuk membayar jumlah penalti kewangan sebanyak RM2,272,200 pada setakat 24 Jun 2016 serta penalti harian sebanyak RM7,500 bermula dari 25 Jun 2016 sehingga keputusan tribunal tersebut semalam.

Mereka juga perlu berhenti dan menghentikan serta-merta daripada mengenakan syarat yang berlainan untuk transaksi yang setara berkaitan pembelian insurans mandatori untuk permohonan pembaharuan PLKS serta menyediakan laluan yang efisien kepada semua pesaing dan pesaing baharu atau berpotensi dalam pasaran penjualan insurans mandatori dalam tempoh 60 hari selepas keputusan TRP dikeluarkan.

Sekiranya pihak MyEG tidak mematuhi arahan yang dinyatakan, pihak MyCC mempunyai kuasa untuk mengenakan penalti harian sebanyak RM7,500 bagi tempoh berikutnya.

Menurut kenyataan itu, sehingga semalam jumlah penalti kewangan yang perlu dibayar oleh perayu adalah RM6,412,200 dan ini termasuk denda harian yang berjumlah RM4,140,000.

Jumlah tersebut, bagaimanapun akan meningkat sekiranya MyEG gagal untuk mematuhi arahan TRP.

MyEG Commerce yang merupakan anak syarikat MyEG telah memeterai perjanjian agensi de­ngan RHB Insurance Berhad (RHB) untuk bertindak sebagai ejen kepada RHB bagi menjual, antara lain, insurans mandatori untuk pembaharuan PLKS.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Abu Samah Shabudin mengalu-alukan keputusan TRP dengan menyatakan adalah menjadi objektif MyCC dari awal lagi untuk memastikan bahawa syarikat-syarikat yang mempunyai kedudukan dominan dalam apa-apa pasaran tidak menyalahgunakan kedudukan mereka kerana ia akan menyebabkan kesan negatif terhadap pengguna dan ekonomi negara secara keseluruhan.

“MyCC sebelum ini telah menyiasat beberapa syarikat yang mempunyai kedudukan dominan seperti Megasteel Sdn. Bhd. (industri besi) dan Giga Shipping Sdn. Bhd. dan Nexus Mega Carriers Sdn. Bhd. (industri logistik),” katanya.