Pengurus Besar ShopBack Malaysia, Alvin Gill berkata, sebanyak 1,000 syarikat e-dagang akan mengambil bahagian pada penganjuran #Mycybersale yang memasuki edisi keempat itu.

Katanya, kira-kira 20 syarikat e-dagang popular seperti Lazada, 11street, Qoo10, Booking.com, Hermo, Taobao dan Coursera akan bekerjasama dengan ShopBack untuk menawarkan pulangan tunai sehingga 40 peratus.

“Selain itu, diskaun sehingga 97 peratus akan diberikan oleh rakan e-dagang melalui laman web dan aplikasi ShopBack Malaysia.

“Bilangan pengguna ShopBack Malaysia yang membeli-belah di #Mycybersale 2017 dijangka meningkat berdasarkan kejayaan penganjurannya sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Gill menambah, pihaknya telah menjalankan kajian membabitkan 3,892 responden mengenai #Mycybersale 2017.

Menurut beliau, produk elektronik merupakan kategori paling popular diikuti kesihatan dan kecantikan, rumah serta fesyen.

Katanya lagi, hampir 80 peratus responden menyatakan diskaun separuh harga paling menarik minat mereka selain promosi dan penghantaran percuma.

“Harga memainkan peranan penting dalam menarik orang ramai untuk berbelanja. Mereka juga memilih faktor polisi pemulangan barang dalam tempoh 14 hari sebagai tidak penting.

“Sementara itu, pembeli biasanya lebih aktif selepas waktu makan iaitu bermula pukul 2 petang dan selepas 8 malam. Oleh itu, penghantaran mesej pemasaran melalui iklan digital pada waktu yang tepat dapat membantu menjana jualan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE