Menurut Abdul Malek yang merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Munif Hijjaz, penubuhan syarikat itu bermula dengan perbualan kecil dan idea bersahaja untuk bekerjasama.

Jelasnya, walaupun sudah memiliki pekerjaan yang stabil, namun minat terhadap perniagaan tidak pernah padam.

“Sebelum ini saya berniaga secara kecil-kecilan selama lima tahun dengan menjual pelbagai produk orang lain. Hasil jualan yang pula tidak seberapa tetapi saya teruskan juga kerana minat, seronok dan mendapat kepuasan dengan berniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Munif Hijjaz, Mohd. Munif berpandangan beliau harus melakukan sesuatu berikutan industri muzik yang semakin mengecil selain rakan-rakannya dalam kumpulan Hijjaz turut terlibat dengan dunia perniagaan.

Produk pertama keluaran Munif Hijjaz adalah minyak wangi kerana ia mudah dilaksanakan, tidak memerlukan ruang yang besar dan ramai tenaga kerja. Produk tersebut berjaya menaikkan jenama Munif Hijjaz dan mencatatkan jualan yang tinggi.

Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah. Kekurangan pengalaman dan kebergantungan terhadap satu produk menyebabkan syarikat mengalami kerugian besar pada 2012 berikutan kejatuhan permintaan produk minyak wangi. Gaji pekerja pula terpaksa dibayar menggunakan duit simpanan sendiri.

Menyedari kesilapan itu, Munif Hijjaz kembali bangkit dan mempelbagaikan produk keluaran mereka termasuk dalam segmen makanan dan minuman (F&B). Strategi pemasaran turut berubah kepada sistem keahlian yang terbukti berjaya meningkatkan jualan syarikat sebanyak 300 peratus.

Tidak mahu menoleh ke belakang, Munif Hijjaz melebarkan sayap perniagaan ke luar negara dengan mengeksport produknya ke Brunei. Produk-produk seperti Munif Cocoa dan Better Cafe mendapat sambutan luar biasa di sana.

Abdul Malek berkata, kemasukan ke pasaran Brunei bermula 2013, namun pertumbuhan jualan ketika itu sangat perlahan. Semuanya berubah apabila pek sedia diminum (RTD) diperkenalkan pada 2017 di mana produk-produk yang tidak diberi perhatian sebelum ini menjadi fenomena baharu.

“Permintaan yang semakin meningkat menyebabkan beberapa pasar raya besar kehabisan stok. Bermula Januari tahun ini satu kontena bersaiz 40 kaki akan dihantar ke Brunei setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, strategi penembusan pasaran di Brunei direncanakan dengan berhati-hati bagi mengelakkan lambakan produk. Kesilapan lalu memberi pengajaran bahawa setiap produk mempunyai kitaran hayat tertentu dan kemasukan produk baharu bergantung kepada faktor tersebut.

“Kami kini memiliki 15 produk dan 49 unit menyimpan stok (SKU) tetapi tidak mahu terlalu ghairah untuk meningkatkan jualan. Syarikat juga bermatlamat untuk mengukuhkan jenama Munif Hijjaz di Brunei dalam tempoh tujuh tahun,” katanya.

Pada masa sama, syarikat tersebut turut mengintai beberapa pasaran berpotensi di rantau Asia dan ASEAN seperti China, India, Asia Barat dan Indonesia.

“Di India, kami sudah mempunyai pembeli sementara Indonesia dalam proses mendapatkan kelulusan permit import. Bagi pasaran Asia Barat, kami sedang berusaha mendaftarkan produk di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya.

Munif Hijjaz akan memberi fokus kepada pasaran eksport kerana kaedah pembayarannya yang mudah sekali gus membolehkan tunai yang diterima digunakan untuk modal pusingan dan perancangan lain.

Dalam pada itu, Abdul Malek berterima kasih kepada pelbagai agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta SIRIM Berhad yang banyak membantu Munif Hijjaz.

Katanya, Munif Hijjaz tidak akan berjaya tanpa bantuan daripada agensi-agensi berkenaan dan menyarankan para usahawan kecil dan sederhana (PKS) turut mengambil tindakan serupa bagi mendapatkan lebih banyak maklumat, bimbingan dan peluang baharu.