Walaupun pelbagai bentuk platform pemasaran digital ki­ni diperkenalkan, namun tidak banyak jenama yang tahu bagaimana untuk mewujudkan conversation atau cakap-cakap yang berterusan. Tanpa cakap-cakap sebegini, tidak akan wujud cadangan yang boleh bergerak dari mulut ke mulut.

Satu kajian yang dilakukan oleh Nielsen, sebanyak 84 peratus daripada kita lebih mempercayai apa yang dicakapkan dan dicadangkan oleh individu yang berpengaruh atau influencers, saudara-mara, rakan di media sosial dan juga rakan-rakan rapat, berbanding de­ngan pemasaran jenis lain terutamanya iklan.

Bagaimana untuk mempu­nyai satu kempen mulut ke mulut yang boleh dipercayai dan asli, yang bakal membuahkan hasil dalam bentuk penjualan produk atau perkhidmatan?

Produk yang berkualiti.

Anda tentu pernah terde­ngar, melihat atau merasai pe­ngalaman makan di kedai yang terletak nun jauh di pedalaman tetapi mempunyai kualiti masakan yang amat hebat. Minggu yang lalu, saya ke satu kampung dekat Pasir Gudang untuk merasai ikan goreng yang dimasak bersama-sama dengan sisik. Ia dikatakan ikan goreng yang paling sedap di Johor. Diperkenalkan oleh seorang rakan saya yang kebetulan baharu sahaja makan di situ beberapa bulan lalu, saya terus ke sana bersama-sama keluarga. Dan memang betul, masakan yang disediakan terutamanya ikan goreng amat menyelerakan.

Tanpa sebarang iklan, kedai ini sentiasa ramai dengan pengunjung. Mengapa? Kerana produknya yang berkualiti tinggi. Malah, terdapat juga pengunjung yang datang dari Singapura, semata-mata datang untuk makan di situ. Ini membuktikan teori yang diperkenalkan oleh guru pemasaran dunia Guy Kawasaki memang tepat. Beliau berkata, 90 peratus daripada ‘pertempuran’ anda dalam perniagaan ialah mempunyai kua­liti produk yang tinggi. Cuma 10 peratus sahaja memerlukan sedikit pemasaran.

Pengalaman pengguna yang positif.

Produk yang berkualiti akan menghasilkan pengalaman manis kepada sesiapa sahaja yang menggunakannya. Ini formula yang anda perlu terapkan dalam perniagaan, memastikan semua ahli dalam pasukan anda faham tentang kualiti. Namun perlu diingat, perkhidmatan yang disediakan bersama-sama dengan produk tadi juga sama penting.

Perkhidmatan anda juga perlu berkualiti tinggi, seimbang dengan kualiti produk tadi. Walaupun anda mempunyai kualiti produk yang baik, ia mampu dijatuhkan dengan mudah de­ngan kualiti perkhidmatan yang buruk sehingga membuatkan pelanggan tidak mahu lagi datang ke kedai anda.

Kandungan yang kreatif yang dibuat oleh orang lain.

Bayangkan kedai makan ta­di, yang mampu menarik para pengunjung untuk datang tanpa sebarang bentuk pemasaran. Mungkin mereka tidak tahu, setiap pengalaman manis yang dinikmati itu ditulis oleh para pengunjung yang juga penulis blogger. Mungkin juga yang datang itu membuat rakaman vi­deo pendek tentang pengalaman mereka makan di situ. Atau mungkin juga ada di antara pe­ngunjung tadi seorang individu yang popular dan berpe­ngaruh dalam kalangan pengikutnya, yang telah memuat naik status beliau di media sosial.

Di sini, kandungan yang disediakan oleh para pengunjung tadi amat memainkan pera­nan penting dalam pemasaran mulut ke mulut tadi. Sekiranya kandungan itu dibuat oleh kedai tadi, mungkin hasilnya tidak seberapa. Tetapi jika dilakukan oleh orang lain, ini mungkin boleh mewujudkan satu fenomena yang menjadi buah mulut orang.

Penyebaran kandungan melalui saluran yang fokus, milik orang lain.

Kedai tadi tidak memerlukan sebarang akaun media sosial, laman web atau blog untuk membentuk pemasaran mulut ke mulut. Tanpa mereka sedar, nama mereka mungkin sudah terkenal di Facebook, Twitter, Instagram, YouTube dan juga laman-laman blog para penggemar makanan dan traveller. Rangkaian-rangkaian media sosial dan juga laman blog ini dimiliki oleh orang lain, dan mereka merupakan penggerak utama pemasaran mulut ke mulut ini.

Formula AIDA.

Singkatan kepada Attention, Interest, Desire dan Action atau Perhatian, Minat, Keinginan dan Bertindak. Formula ini biasanya dilakukan oleh para pemasar dalam mendapatkan pelanggan berbayar. Cuma di sini bezanya ialah anda cuma perlu memastikan kualiti produk dan per­khidmatan anda kekal tinggi dan formula AIDA ini akan berlaku tanpa anda perlu berbuat apa-apa. Para pengunjung kedai makan yang akan lakukannya bagi pihak anda.