Pelupusan itu melibatkan 412 juta saham dalam bank tersebut yang dibuat menerusi dagangan blok semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) berkata, walaupun menyedari ia adalah sebahagian daripada langkah ke­utamaan modal MUFG tetapi tetap yakin hubungan mereka masih kukuh.

“Kami mempunyai hubung­an yang saling menguntungkan sepanjang 40 tahun lalu dan saya yakin ia tetap kukuh. Kami akan terus menjadi rakan kongsi perniagaan yang dipercayai dan berharap untuk terus mengembangkan kerjasama kami dalam bidang-bidang yang menjadi pelengkap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi pelan utama global MUFG termasuk menyemak semula portfolio pelaburan sedia ada dalam syarikat bersekutu.

Menurut Bloomberg, BTMU meraih AS$610 juta (RM2.56 bilion) daripada penjualan pegangan itu.

Rangkaian MUFG di Asia dan Oceania menjangkau 15 buah negara termasuk Malaysia dengan me­­ningkatkan pelaburan modal dalam CIMB, yang dibuat secara berperingkat sejak 1974.

Di sebalik pelupusan pegangan itu, MUFG dan CIMB akan terus mengekalkan hubungan kerjasama yang telah bermula 40 tahun lalu dan menguntungkan ke­dua-dua pihak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MUFG Asia dan Oceania, Takayoshi Futae berkata, pembinaan asas kepada kerjasama tersebut kekal tidak berubah dan MUFG akan terus meneroka pel­­bagai kaedah untuk berkembang di Malaysia menerusi sokongan CIMB dan juga membantu mereka berkembang menggunakan platform dan rangkaian global MUFG.

“Sebagai institusi kewangan glo­bal yang kukuh di Asia, kami telah menjadi rakan kongsi yang komited dengan pertumbuhan di Malaysia. Sejak beberapa tahun lalu, hubung­an kami dengan rakan sekutu, CIMB juga semakin mendalam.

“Kami mendapati kerjasama ini diperluaskan menerusi pelbagai segmen daripada perbankan Islam, kewangan runcit serta projek-projek infrastruktur, ia kekal tidak berubah,” katanya.