Penerima sistem ini, yang dikenali sebagai unit pengolokan Beckoff ialah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Institut Malaysia-Jerman (GMI).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pela­buran Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, langkah itu menunjukkan syarikat multinasional besar seperti Muehlbauer memberi tindak balas positif terhadap permintaan pihak berkuasa untuk merapatkan jurang kemahiran antara pengetahuan industri terkini dan sukatan pelajaran universiti.

“Inisiatif ini akan menyumbang dalam pelbagai bentuk terutama membolehkan pensyarah dan pelajar membiasakan diri dengan teknologi terkini dalam industri,” katanya semasa me­nyampaikan unit-unit contoh itu di sini hari ini.

Azman berkata, Malaysia perlu bergerak pantas untuk memastikan negara berada pada kedudukan betul dalam mengguna pakai revolusi perindustrian keempat (IR 4.0).

“Kami sentiasa menggalakkan syarikat termasuk penyedia perkhidmatan, supaya melabur dalam bakat dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan keupayaan serta membangunkan sendiri teknologi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Muehlbauer, Sekar Ramasamy berkata, pemberian peralatan tersebut bertujuan membantu pelajar bersedia menghadapi cabaran digitalisasi dan IR 4.0.

Beliau berkata, lebih banyak inisiatif serupa dijangka dilaksanakan tahun ini dan diperluas ke sekolah rendah dan mene­ngah di seluruh negara.

Empat institusi pengajian tinggi juga akan menerima latihan selama 40 jam dan sokongan untuk pengembangan peralatan termasuk teknologi pempro­sesan imej, penglihatan atau penambahbaikan lain mengikut keperluan. – BERNAMA