Kini dengan kepesatan per­kem­bangan dalam bidang tek­nologi di Malaysia, ia membuka banyak ruang dan peluang untuk lebih ramai insan terutamanya mahasiswa untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Soalnya, adakah mahasiswa sedar teknologi yang mereka gunakan itu mampu membantu mereka untuk menjana pendapatan sendiri? Tidak semua yang sedar dan celik akal untuk melihat peluang yang sedia ada terbentang luas.

Mereka seharusnya ber­syu­kur dan merasa beruntung kerana hanya dengan bantuan teknologi mampu membantu menjana pendapatan dan tidak memerlukan modal yang besar dan kedai semata-mata untuk mula berniaga.

Berikut merupakan kupasan daripada saya, pemilik Nafa­gadget, yang bermula sebagai penjual makanan ringan ketika masih menuntut di sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur dan seterusnya mempunyai perniagaan sendiri di media sosial yang berkonsepkan telefon pintar iPhone dan aksesori telefon.

Media sosial

Rata-rata rakyat Malaysia pastinya akan mempunyai se­kurang-kurangnya satu akaun di media sosial yang boleh diakses secara percuma se­perti Facebook, Instagram dan ­Twitter.

Objektif utama media sosial ini bukan sahaja terhad kepada membantu kita menjalinkan hubungan dengan kawan baharu atau mencari kawan yang te­lah lama tidak dapat dihubungi.

Banyak lagi fungsi yang boleh kita dapati di media sosial dan sebagai contoh, kita boleh membuka satu halaman khas di Facebook atau membuka satu akaun di Instagram khas untuk memulakan perniagaan.

Semua ini adalah percuma dan terima kasih kepada perkembangan teknologi. Ha­nya memerlukan ilmu dan kreativiti daripada peniaga untuk memaksimumkan sepenuhnya kekuatan di setiap platform media sosial yang mereka ceburi.

Selain itu, media sosial juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan maklumat mengenai bisnes secara percuma.

Terdapat ramai ‘sifu dan otai’ bisnes, baik secara dalam talian mahupun offline yang memberikan perkongsian secara percuma di media sosial. Mereka juga tidak lokek untuk memberi pandangan dan jawapan sekiranya anda bertanyakan soalan.

Malah, banyak lagi maklumat lain yang dapat membantu anda memulakan perniagaan. Sebagai contoh, resipi masakan atau resipi kuih raya jika anda me­rancang untuk membuat bisnes kuih raya sempena kedatangan hari raya tidak lama lagi.

Laman web e-dagang

Antara laman web e-dagang yang telah lama bertapak di Malaysia adalah mudah.my dan lelong.my. Selari dengan perkembangan teknologi, telah wujud lebih banyak pilihan dan kelai­nan seperti Carousel, Lazada dan Shopee MY.

Malah menjual motokar juga boleh menggunakan Carlist.my. Terdapat juga jenama terkenal yang cende­rung untuk mempunyai aplikasi telefon pintar mereka sendiri seperti Cotton On dan Uniqlo bagi memudahkan pelanggan mereka untuk membeli-belah.

Laman web e-dagang dan aplikasi ini memudahkan rakyat Malaysia untuk berbelanja secara dalam talian dan tidak lagi perlu keluar untuk membeli-belah.

Ia juga memudahkan bagi peniaga yang ingin mencari pembekal dan membandingkan pembekal yang terbaik bagi sesuatu bisnes yang ingin diceburi. Kemudian memasarkan semula di platform media sosial atau laman web e-dagang mereka.

Terdapat juga platform yang menawarkan peluang kepada mereka yang ingin menceburi bidang bisnes tetapi masih mencari produk untuk dijual seperti laman web vitradepoint. Semuanya telah disediakan dengan bantuan teknologi yang telah dibangunkan.

Aset teknologi

Di setiap universiti pastinya mempunyai pelajar yang mempunyai peralatan seperti mesin cetak, laptop, motosikal atau kereta. Pastinya pelajar yang bijak mencari peluang untuk menjana pendapatan akan memanfaatkan setiap aset teknologi yang dimiliki oleh mereka.

Sebagai contoh, bagi pelajar yang mempunyai mesin cetak, boleh memberi servis percetakan dan fotostat kepada pelajar lain.

Hal ini kerana kedai percetakan tidak beroperasi sepanjang masa dan pastinya pelajar lain mencari servis seperti ini ter­utamanya pada waktu malam dan menjelang peperiksaan.

Selain itu, pelajar yang mempunyai kereta juga boleh menjana pendapatan dengan membuat servis pengangkutan menghantar pelajar lain ke destinasi yang ingin dituju.

 

Muhammad Asyraf Naqiuddin Fadrinuraidin adalah pelajar tahun 3 Bacelor Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM

GRADUAN USAHAWAN MUHAMMAD ASYRAF NAQIUDDIN FADRINURAIDIN