Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus berkata, penyenaraian syarikat penerima dana tersebut sejajar dengan rancangan jangka sederhana MTDC untuk mewujudkan lebih ba­nyak syarikat bernilai RM100 juta menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, pihaknya mahu syarikat-syarikat yang menerima dana MTDC memperluas­kan perniagaan mereka untuk menjadi lebih maju dan berdaya saing dengan menerokai pasaran eksport.

“Syarikat yang dijangka dapat disenaraikan tersebut adalah Malaysian Phosphate Additive Sdn. Bhd. yang terlibat dalam sektor kimia dan nilai syarikat kira-kira RM1 bilion.

“Selain itu, sektor minyak dan gas juga antara sektor yang diberi tumpuan kerana sudah terdapat beberapa syarikat tempatan termasuk bumiputera yang telah mengeksport produk mereka ke luar negara. Sektor lain yang diberi penekanan adalah makanan dan perubatan termasuk peralatan perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jalinan Inovasi Aidilfitri Komuniti Disayangi MTDC di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

Majlis dihadiri oleh kira-kira 1,200 jemputan terdiri daripada penerima dana MTDC itu turut meraikan anak-anak yatim.

Norhalim berkata, majlis ter­babit bukan sahaja diadakan untuk meraikan penerima dana sempena Hari Raya tetapi juga dapat memberi peluang kepada golongan terbabit berinteraksi sesama sendiri dan mewujudkan peluang usahasama.

“Pada majlis begini mereka boleh bertemu dan mencari pe­luang perniagaan serta usahasama antara satu sama lain. Selain itu, syarikat-syarikat baharu juga dapat menimba ilmu daripada syarikat-syarikat yang telah berjaya,” ujarnya.