Prestasi lemah di bursa tempatan itu adalah sejajar dengan bursa serantau dan ketidakpastian prospek ekonomi global dalam masa terdekat menyebabkan pelabur daripada pelbagai sektor membuat penjualan besar-besaran.

Walau bagaimanapun, saham Gamuda Bhd. meningkat sebanyak 15 sen kepada RM2.47 dan MMC Corp Bhd. juga naik empat sen kepada RM1.16 susulan pengumuman projek MRT Laluan 2 (MRT2) Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya diteruskan.

Keputusan itu dibuat selepas rundingan akhir yang mana MMC-Gamuda bersetuju meningkatkan pengurangan kos kerja-kerja bawah tanah kepada RM3.6 bilion daripada RM2.13 bi­lion.

Kenanga Research menjangkakan sumbangan yang lebih besar daripada segmen kejuruteraan pada tahun kewangan 2018-2019.

“Dengan keuntungan se­­paruh pertama 2018 sebelum cukai kejuruteraan melonjak 79 peratus tahun ke tahun kepada RM152 juta, terutama didorong oleh sumbangan MRT,” katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

Kos pembinaan (tidak termasuk kos faedah, kos pengambilan tanah dan kos lain) MRT2 berjaya dikurangkan sebanyak RM8.82 bi­lion atau 22.4 peratus daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion.

Kesemua stesen atas tanah MRT2 dikekalkan sementara dua stesen bawah tanah iaitu Bandar Malaysia (Utara) dan Bandar Malaysia (Selatan) akan ditangguhkan menjadikan jumlah stesen di dalam rancangan asal sebanyak 35 kepada 33.

Saham Gamuda pada awal Oktober lalu susut susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan tender semula kerja bawah tanah projek MRT2 yang belum selesai, menerusi proses tender terbuka antarabangsa.

Rata-rata penganalisis me­nyarankan MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MMC Gamuda) menawarkan pakej harga lebih rendah bagi menyelamatkan seramai 20,000 kakita­ngan kehila­ngan kerja.